Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Syarikat konsesi air Sabah, Jetama Sdn Bhd (Jetama) menjadi penaja rasmi air minuman untuk pasukan Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.
Penajaan produk air minuman berjenama ‘Waig’ keluaran Jetama bernilai RM1.5 juta itu dimeterai pada majlis menandatangani perjanjian penajaan rasmi antara Jetama Sdn Bhd dan Sabah FC.
Majlis menandatangani itu turut disaksikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi, Jetama Sdn Bhd, Datuk Yussof Abdul Manan; Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang dan Pengurus Besar Sabah FC Mohd Joh Wid.
Ahmad Naim ketika berucap berkata, tahun ini pihaknya meneruskan penajaan selepas menjadi penaja utama Sabah FC musim lalu.
Katanya, penajaan musim ini sekaligus memperkenalkan produk air minuman Waig yang bukan sekadar komitmen korporat tetapi satu manifestasi sokongan pihaknya terhadap pembangunan belia dan sukan.
“Dalam dunia sukan, air bukan hanya simbol kesegaran dan tenaga, malah ia adalah keperluan asas untuk setiap atlet. Di padang, di gelanggang, mahupun dalam latihan harian, air adalah nadi kepada kekuatan fizikal dan mental.
“Tanpa air, tiada la stamina dan tiada la fokus untuk bersukan mahupun bermain bola. Justeru itu, pengisytiharan Waig sebagai air rasmi Sabah FC adalah sesuatu yang amat simbolik, signifikan dan tepat pada waktunya.
Katanya, pihaknya percaya bahawa pelaburan dalam sukan adalah pelaburan dalam masa depan yang membentuk disiplin, semangat berpasukan, dan memperkukuh perpaduan masyarakat.
Melalui kerjasama ini katanya, pihaknya berharap agar Sabah FC akan terus mara ke hadapan, membawa nama Sabah lebih tinggi dalam liga kebangsaan mahupun antarabangsa.
Terdahulu, Shahelmey berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada JETAMA Sdn Bhd atas komitmen dalam menyokong pembangunan bola sepak negeri Sabah.
“Saya difahamkan JETAMA Sdn Bhd akan memberi tajaan bernilai RM1.5 juta kepada Sabah FC pada musim ini.
“Komitmen dan sokongan yang diberikan pada musim ini dan musim-musim sebelumnya amat dihargai dan menjadi tulang belakang kepada kejayaan pasukan Sabah FC.
“Dengan penajaan ini, logo ‘Waig’ yang merupakan produk air botol baru jenama JETAMA akan dipaparkan secara rasmi di jersi pasukan Sabah FC.
“Semoga kerjasama ini akan menjadi pencetus kejayaan kepada kedua-dua pihak serta menjadi silaturahim jangka panjang yang saling memberi manfaat positif.
“Saya berharap akan lebih banyak lagi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan swasta yang tampil memberi tajaan dan sokongan kepada pasukan bola sepak kita,” katanya. – Chronivo