HomeUtamaProjek Komersial Fasa II dibina di Pekan Baharu Tongod

Projek Komersial Fasa II dibina di Pekan Baharu Tongod

Read Time:1 Minute, 15 Second

TONGOD: Pekan Baharu Tongod bakal menyaksikan satu lagi lonjakan pembangunan apabila Projek Komersial Kedai Bertingkat Fasa II yang melibatkan enam unit kedai bernilai hampir RM4 juta akan dimulakan tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, projek ini merupakan kesinambungan kepada pembinaan enam unit kedai bertingkat yang telah dimulakan pada tahun lalu di bawah Fasa I.

“Projek ini adalah antara inisiatif komersial di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diilhamkan Kerajaan Negeri Sabah bagi merancakkan pembangunan luar bandar,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan di sini, pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu turut memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan bagi Fasa I kini telah mencapai kemajuan sebanyak 50 peratus dan dijangka siap sebelum pertengahan tahun depan.

“Kesemua enam unit kedai di bawah Fasa I juga telah habis terjual, menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, LPPB turut merancang membina 50 unit rumah teres dua tingkat di bawah Program Rumah Awam Kos Rendah (PAKR) berdekatan Pekan Tongod, khusus bagi membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri.

Menurut Masiung, pembangunan perumahan kos rendah itu dijadualkan bermula awal tahun hadapan dan permohonan pembelian rumah boleh dikemukakan secara dalam talian. Setiap unit akan dijual pada harga RM47,000.

Projek komersial dan perumahan tersebut merupakan pelaksanaan bersepadu di bawah agenda pembangunan negeri menerusi dasar SMJ.

Turut hadir dalam majlis pecah tanah berkenaan ialah Pengurus Besar LPPB, Datuk Rosemary Ahping dan Pegawai Daerah Tongod, Mohd. Yuseri Yusof.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular