TONGOD: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menolak cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Barisan Nasional (BN) membentuk kerjasama politik bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).
Masiung berkata, kerjasama tiga penjuru itu bukan sahaja akan mengelirukan pengundi, malah tidak selari dengan persefahaman sedia ada antara GRS dan PH Sabah.
“Tidak mungkin persafahaman seperti itu dapat dicapai kerana ia akan mengelirukan pengundi. Lagipun, GRS dan PH sudahpun terlebih dahulu mencapai kata sepakat untuk meneruskan kerjasama politik,” katanya.
Bagaimanapun, jika cadangan itu tetap diteruskan, beliau menegaskan Gagasan Rakyat akan berpegang kepada kenyataan Perdana Menteri pada 11 Mei lalu di Tawau bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan mengetuai rundingan pembahagian kerusi.
Perdana Menteri semalam, ketika menghadiri perjumpaan khas bersama pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah di Kota Kinabalu, menyatakan hasrat untuk berusaha mengelakkan pertembungan tiga penjuru dengan memadukan rundingan antara GRS, BN dan PH menjelang PRN-17.
Mengulas lanjut, Masiung berkata Gagasan Rakyat sebagai teras kepada GRS tidak bersetuju dengan cadangan Anwar yang disifatkan sebagai percubaan mewujudkan ‘cinta tiga segi’ politik.
Menurut beliau, GRS dan PH Sabah telah lama menjalin kerjasama yang kukuh dalam mentadbir kerajaan negeri, manakala hubungan dengan BN/UMNO telah terjejas susulan episod ‘Langkah Kinabalu’.
“GRS telah hilang kepercayaan terhadap BN/UMNO selepas pengkhianatan menerusi Langkah Kinabalu. Sejak itu, pemimpin mereka terus meniupkan sentimen permusuhan serta memperlekehkan GRS dengan pelbagai taktik dan strategi,” ujarnya.
Tambah Masiung, UMNO/BN Sabah juga sebelum ini telah menyatakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan GRS, justeru cadangan untuk menyatukan semula ketiga-tiga gabungan tidak realistik.
“Kami berharap Perdana Menteri menghormati pendirian kami dan mengotakan janjinya untuk menyerahkan kepada Pengerusi GRS (Hajiji) bagi mengetuai rundingan pembahagian kerusi antara parti-parti gabungan menjelang PRN-17,” katanya.