KOTA KINABALU: Rakyat Sabah tidak mudah lupa dan tidak semudah itu terpedaya dengan janji kitar semula yang sering muncul menjelang musim pilihan raya.
Demikian teguran sinis Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, terhadap kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, yang dilihat mengulangi janji-janji lama seperti melupuskan pinjaman pendidikan termasuk PTPTN dan Yayasan Sabah serta menawarkan biasiswa penuh kepada anak-anak Sabah.
Katanya, semasa Shafie menerajui kerajaan negeri dari 2018 hingga 2020, tiada satu pun dasar konkrit yang menunjukkan kesungguhan dalam memperjuangkan pendidikan anak-anak Sabah.
“Tidak ada pelupusan hutang, tidak ada dermasiswa baharu, tidak ada dana khas untuk mahasiswa luar negeri. Yang ada hanyalah retorik demi retorik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nizam, tindakan mengitar semula janji yang tidak pernah dilaksanakan itu jelas hanya untuk meraih undi apabila sudah tidak lagi berkuasa.
Sebaliknya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah membuktikan komitmen melalui pelbagai inisiatif pendidikan yang bersifat realistik dan bertanggungjawab, termasuk Dana Bantuan Pendaftaran IPT bagi anak-anak Sabah dari keluarga B40, Dermasiswa Sabah Maju Jaya (SMJ) yang membuka lebih banyak akses ke menara gading, penambahan peruntukan Yayasan Sabah demi biasiswa dan bantuan pendidikan yang lebih luas, pembinaan dan pembaikan sekolah daif di luar bandar; dan inisiatif khas untuk mahasiswa Sabah di luar negeri yang tidak pernah dilaksanakan semasa Warisan berkuasa.
“Ini bukan cerita dongeng. Ini komitmen sebenar kerajaan GRS bukan dengan menjual mimpi atau mengeksploitasi hutang mahasiswa untuk modal politik murahan,” tegasnya.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah menyeru rakyat khususnya anak muda agar menolak politik populis yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.
“Pendidikan bukan alat propaganda. Ia adalah amanah untuk membina generasi masa depan. Kerajaan GRS akan terus bekerja, bukan berjanji; akan terus memberi, bukan memancing simpati,” katanya.
Tambah beliau, rakyat Sabah berhak untuk terus maju, bukan mundur kerana terpedaya dengan janji lama dalam bungkusan baharu.