Kota Kinabalu: Malaysia mengetatkan kawalan kemasukan vesel penangkapan ikan asing ke perairannya melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Kemasukan Vesel Penangkapan Ikan Asing ke Pelabuhan (e-PSM).
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, sistem digital berkenaan dibangunkan selaras piawaian antarabangsa dan mengikut Seksyen 15(2), Akta Perikanan 1985 bertujuan membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilapor dan tidak dikawal (IUU Fishing).
“Sistem ini bagi mengurus permohonan kemasukan kapal asing ke pelabuhan negara, meningkatkan kecekapan kawalan dan menyokong komitmen Malaysia menentang IUU Fishing. Mana-mana kapal asing perlu mendapat kelulusan Jabatan Perikanan sebelum dibenar berlabuh di pelabuhan negara.
“Melalui e-PSM, pemilik vesel perlu mengemukakan permohonan termasuk maklumat tarikh kemasukan, pelabuhan yang dituju dan hasil tangkapan yang ingin didaratkan bagi tujuan penilaian serta kebenaran kemasukan.

“Jika kita gagal melaksanakan kawalan ini, kita dianggap menyokong IUU Fishing. Meskipun belum meratifikasi Port State Measures Agreement, Malaysia komited mematuhi syarat-syarat yang digariskan di bawah perjanjian antarabangsa itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran e-Port State Measure (e-PSM), di sini.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu.
Adnan berkata, antara tujuan utama pelaksanaan e-PSM adalah bagi memastikan vesel yang masuk bukan daripada kategori IUU selain mengawal spesies ikan yang didaratkan agar tidak melanggar syarat antarabangsa termasuk ikan larangan atau spesies di bawah senarai CITES.
“Vesel asing perlu membuat pengisytiharan hasil tangkapan. Sekiranya melibatkan spesies yang menyalahi peraturan antarabangsa, kita tidak akan benarkan ia didaratkan.
“Permohonan akan disemak bersama badan antarabangsa termasuk dari Australia, Kesatuan Eropah dan organisasi serantau seperti Indian Ocean Tuna Commission dan Western Pacific Tuna Commission untuk memastikan status pendaftaran kapal yang memohon.
“Setakat tahun 2024 dan 2025, sebanyak 20 vessel asing diluluskan untuk memasuki pelabuhan Malaysia dengan pendaratan 550 tan metrik ikan tuna dan spesies seumpamanya di Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya.
Jabatan Perikanan mempromosikan sistem e-PSM melalui laman web dan ejen tempatan yang wajib mengemukakan permohonan kepada jabatan untuk proses kelulusan serta pemantauan.