KUANTAN: Nilai kemanusiaan dan belas kasihan bukan hanya menjadi prinsip hidup peribadi, tetapi turut menjadi asas dalam setiap keputusan korporat di B.Grimm, kata Pengerusinya, Dato’ Sri Dr. H.C Harald Link.
Falsafah “Berniaga dengan belas ihsan” telah lama menjadi tunjang operasi konglomerat tenaga itu, yang kini mengendalikan lebih 60 loji janakuasa di 15 negara.
Falsafah yang mendasari misi B.Grimm Power, yang menyasarkan untuk “memperkasakan dunia dengan belas ihsan.”
“Ini bukan sekadar slogan – kami benar-benar melaksanakannya di setiap negara tempat kami beroperasi,” katanya.
“Saya percaya semua agama mengajar perkara yang sama – bahawa manusia harus berbuat baik sesama manusia,” tegas beliau semasa diwawancara eksklusif oleh Chronivo selepas menerima anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Istana Abdulaziz baru-baru ini.
Menurut beliau, budaya kekeluargaan yang kuat biasanya wujud dalam syarikat kecil, namun nilai itu boleh terhakis apabila organisasi berkembang dan menjadi lebih kompleks.
“Apabila syarikat menjadi besar, lebih banyak sistem perlu diperkenalkan bagi mengurus operasi. Namun, dalam proses itu, nilai kasih sayang mungkin sedikit terhakis,” jelasnya.
Nilai Spiritual dan Kerohanian di Malaysia
Mengulas mengenai pengalamannya di Malaysia, Dr Harald Link menyatakan kekaguman terhadap penghayatan agama dalam kalangan rakyat negara ini. Menurutnya, ini memperkuatkan lagi nilai kemanusiaan di tempat kerja.
“Satu perkara yang saya sangat suka tentang Malaysia ialah penghayatan agamanya masih kuat. Ketika beribadah, kita diingatkan semula tentang kasih sayang yang kita harapkan daripada Tuhan – dan kasih yang harus kita tunjukkan kepada manusia lain.”
Pekerja Sebagai Rakan Kongsi
Dr Harald Link turut menjelaskan bahawa B.Grimm tidak menganggap pekerja sebagai tenaga kerja semata-mata, sebaliknya sebagai rakan kongsi dalam menjayakan misi dan objektif syarikat.
“Kami benar-benar mahu menjadi rakan kongsi dengan sesiapa sahaja yang kami bekerjasama. Pekerja adalah rakan kongsi dalam mencapai tujuan bersama.”
Beliau berkata, kejayaan syarikat perlu bermula dengan sumbangan positif kepada masyarakat sebelum memikirkan keuntungan kewangan.
“Kami percaya, apabila kita melakukan sesuatu yang baik untuk Masyarakat, pastinya matlamat kita akan tercapai”
Amalan Kerjasama, Bukan Persaingan
Dalam budaya korporat hari ini, persaingan dalaman sering dianggap lumrah. Namun bagi Dr Harald Link , kejayaan sebenar terbit daripada kerjasama tulen dalam organisasi.
“Saya pernah bercakap dengan seorang wanita yang berkata pesaing terbesarnya dalam syarikat adalah orang yang duduk di sebelahnya. Berbeza dengan kami yang mahu orang yang duduk di sebelah anda menjadi sahabat baik anda.”
“Apabila kita bekerjasama, tenaga yang dihasilkan akan menjadi seperti sinar laser – berfokus, kuat dan mampu menembusi cabaran. Sebaliknya, jika semua orang bergerak dengan arah berbeza, tenaga itu tidak akan memberi kesan yang sama.”
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa definisi kejayaan perlu melangkaui keuntungan material.
“Kami percaya apabila manusia saling berbuat baik dan mahu mencapai matlamat bersama, kejayaan lebih mudah dicapai. Kejayaan bukan hanya wang – ia datang dalam pelbagai bentuk. Kami mahu kehidupan yang lengkap.”
Rapat Dengan Komuniti
Mengenai pendekatan syarikat terhadap komuniti, Dr Harald Link berkata B.Grimm sentiasa memastikan kehadirannya di sesebuah lokasi disertai hubungan baik dengan masyarakat setempat.
Kami juga banyak menyokong isu-isu sosial yang kurang diberi perhatian. Hasilnya, kehadiran kami disenangi dan kami mempunyai hubungan rapat dengan komuniti”
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program pendidikan seperti Little Scientist House, latihan vokasional dwi-aliran, dan penubuhan Harbour Space University bagi melahirkan usahawan digital.
“Semua ini melahirkan ahli masyarakat yang lebih baik dan menjadikan mereka penyumbang aktif dalam tenaga kerja. Jika ekonomi berkembang, semua orang berkembang. Jika kita hanya pentingkan diri, kita menyekat kekuatan masyarakat.”
Tambahnya, kerajaan juga perlu memastikan kesejahteraan menyeluruh dapat dinikmati oleh semua golongan, termasuk yang miskin dan kaya.
“Golongan kaya juga akan lebih terdorong menyumbang jika mereka hidup dalam masyarakat yang bahagia – dan ini akan turut menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan mereka.”
Legasi 147 Tahun
Mengulas tentang sejarah panjang B.Grimm, Dr Harald Link menyatakan beliau hanya meneruskan warisan kemanusiaan yang telah diasaskan oleh pengurusan awal syarikat sejak 147 tahun lalu.
“Saya sudah bersama syarikat selama 47 tahun. Tetapi 100 tahun sebelum saya menyertai, rakan kongsi terdahulu telah melakukan perkara yang sama.”
Antara pencapaian awal syarikat termasuk menghasilkan ubat-ubatan Eropah pertama di Thailand serta membina sistem pengairan utama di utara Bangkok dengan kerjasama kerabat diraja Thailand, bagi meningkatkan pengeluaran padi iaitu makanan ruji penduduk rantau ini.
“Thailand menjadi pengeluar makanan utama dan ini menyumbang kepada kestabilan masyarakat. Makanan adalah keperluan asas.”
Dr Harald Link turut menyatakan bahawa kelebihan yang ada di Thailand turut dikongsi oleh Sabah.
“Sabah dan Thailand mempunyai cuaca yang baik – apa sahaja yang anda tanam boleh tumbuh. Maka, sumber pendapatan boleh dijana dengan baik.”
Beliau menambah bahawa sistem pengairan yang dibina oleh syarikat di utara Bangkok masih berfungsi hingga kini, berhampiran Lapangan Terbang Don Mueang.
“Sejak awal, kami telah menghasilkan ubat ketika wabak kolera dan membina sistem pengairan untuk memastikan bekalan makanan rakyat berterusan. Semua ini bukan sesuatu yang baharu – ia adalah legasi belas ihsan yang kami teruskan hingga ke hari ini.”