Kota Kinabalu : Bekalan air di kawasan bandaraya Kota Kinabalu termasuk Kota Kinabalu Utara kini menunjukkan peningkatan dari segi tekanan dan kestabilan selepas kerja-kerja pemasangan paip baharu bagi Projek Telibong Dua Fasa Dua siap sepenuhnya pada 14 Julai lalu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kerja-kerja pembersihan, pengujian dan pentauliahan telah dilaksanakan selepas pemasangan paip baharu selesai sebelum disalurkan kepada pengguna.
Katanya, pada ketika ini tekanan air yang lebih baik mula dirasai penduduk di sekitar kawasan Kota Kinabalu.
“Namun masih ada kejadian-kejadian seperti paip-paip lama yang pecah serta penyesuaian masa yang diperlukan untuk menstabilkan paras air di tangki simpanan Jabatan Air, yang sedang ditangani secara berperingkat.
“Jadi, ini merupakan sebahagian daripada proses berterusan yang dilaksanakan oleh Jabatan Air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian penajaan rasmi antara Jetama Sdn Bhd dan Sabah FC di sini pada Isnin.
Sementara itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut mengulas mengenai gangguan bekalan air di Tawau yang berlaku sejak minggu lalu.
Katanya, gangguan itu adalah susulan penghentian sementara operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara Tawau.
“Keputusan itu dibuat selepas bacaan amonia melebihi paras selamat, iaitu 1.4mg/l berbanding had yang dibenarkan sebanyak 0.5mg/l.
“Kandungan amonia yang tinggi dipercayai berpunca daripada pencemaran di kawasan tadahan sungai, termasuk penempatan perumahan yang dibina berdekatan kawasan sungai tersebut.
“Sebagai langkah segera, lapan lori air telah digerakkan oleh Jabatan Air untuk membekalkan air kepada penduduk yang terjejas,” katanya
Dalam pada itu, Shahelmey berkata, satu mesyuarat telah diadakan antara Jurutera Jabatan Air Daerah Tawau dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran serta mencari penyelesaian jangka panjang.
“Saya difahamkan semalam ada hujan berlaku di Tawau. Kita berharap paras amonia itu akan turun ke tahap yang boleh diterima dan LRA boleh digunakan semula,” katanya – Chronivo / FOTO SABAH FC