HomeUtamaAksi Vigil tuntut keadilan Zara dapat sambutan

Aksi Vigil tuntut keadilan Zara dapat sambutan

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Aksi vigil menuntut keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menghimpunkan lebih 300 orang di Lintasan Deasoka, Gaya Street, semalam.

Perhimpunan yang bermula seawal jam 7.30 malam itu dianjurkan oleh gerakan pelajar Suara Mahasiswa UMS bersama Gerakan Anak Muda Pantai Timur (GEMPUR), dengan membawa mesej utama iaitu menuntut keadilan, reformasi sistem, dan solidariti untuk keluarga Zara.

Sudirman Arshad, selaku jurucakap Suara Mahasiswa UMS dan koordinator GEMPUR, berkata bahawa Aksi Vigil Tuntut #JusticeForZara digerakkan bagi menyampaikan mesej tegas bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang.

“Kalau memang bersalah, pelaku memang harus dihukum dan tindakan perlu dikenakan tidak kira apa juga latar belakang keluarganya,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, himpunan itu turut menuntut reformasi sistem pendidikan antara lain agar pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama penuh bagi menjamin keselamatan pelajar, dan menubuhkan literasi atau badan pencegahan buli agar perkara sebegini tidak terulang lagi.

“Kematian Zara adalah manifestasi kegagalan sistem pendidikan negara dalam melindungi anak-anak Marhaen daripada penderaan dan penindasan bila mana keadilan dan kebenaran masih berpihak kepada orang berkepentingan. Gagal melindungi, gagal bersuara dan gagal menuntut keadilan.

“Kita tidak lagi bercakap soal ‘buli ringan’. Zara bukan tergelincir di tangga, tubuhnya patah jiwanya hancur dan paling hancur adalah ibu Zara yang terpaksa menanggung luka tiada penawar, bukan kerana takdir tetapi kerana kelalaian dan keengganan mereka yang sepatutnya menjaga,” katanya.

Zara, pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama, dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di sini, pada jam 11 pagi, 17 Julai lalu.

Kejadian itu tular di media sosial susulan dakwaan kejadian buli yang mengaitkan anak menteri, VIP, dan individu berpengaruh dengan kematian pelajar terbabit, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Keluarga Zara pada 1 Ogos lalu dilaporkan memohon agar satu inkues diadakan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian tersebut. Namun, belum ada perkembangan terbaru mengenai perkara ini.

LINK BERITA TERDAHULU:
https://chronivo.my/2025/08/01/keluarga-zara-mohon-inkues/

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara sedang meneliti dengan mendalam laporan penuh siasatan awal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara, yang diterima masing-masing pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Putrajaya.

LINK BERITA TERDAHULU:
https://chronivo.my/2025/08/04/jabatan-peguam-negara-teliti-laporan-penuh-siasatan-kes-kematian-zara-qairina/

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular