HomeUtama40 pelajar Sabah terima dermasiswa ikuti program guaman syarie di USIM

40 pelajar Sabah terima dermasiswa ikuti program guaman syarie di USIM

Read Time:1 Minute, 19 Second

Nilai :  Seramai 40 orang pelajar Bumiputera Sabah bakal menerima dermasiswa penuh bagi mengikuti Program Diploma Lepasan Ijazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) hasil kerjasama strategik antara Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Fakulti Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) kerjasama itu diadakan di kampus USIM di sini pada Isnin dan disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Arifin ketika berucap berkata, menerusi inisiatif itu, setiap pelajar akan menerima tajaan yuran pengajian sebanyak RM9,500 setahun, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bernilai RM380,000 setahun yang dibiayai oleh Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS. 

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada pelajar lepasan bidang syariah dan undang-undang yang belum bekerja.

Menurutnya, program itu merupakan langkah proaktif dalam membina sumber manusia berkelayakan bagi menyokong perkembangan sistem kehakiman syariah di Sabah, terutamanya selepas kelulusan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah Negeri Sabah pada Julai 2024.

“Penubuhan Mahkamah Syariah Utama di Sabah menuntut bukan sahaja infrastruktur yang kukuh, tetapi juga keperluan kepada hakim syarie dan pengamal undang-undang syarie yang terlatih dan berkualiti,” katanya.

Program DIJAP ini akan dilaksanakan secara pesisir di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan sokongan penuh daripada Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah turut memuji kerjasama antara MUIS dan USIM sebagai contoh sinergi terbaik antara institusi agama dan institusi pengajian tinggi dalam memperkasa pembangunan modal insan serta sistem perundangan syariah di Sabah.

“Saya yakin, usaha ini akan melahirkan lebih ramai Hakim Syarie, Pendakwa Syarie dan Pengamal Undang-undang Islam yang berwibawa dan berintegriti,” katanya . – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular