HomeUtamaSistem Repositori Harga dan Bekalan akan dibangunkan bagi tangani kos sara hidup...

Sistem Repositori Harga dan Bekalan akan dibangunkan bagi tangani kos sara hidup – Armizan

Read Time:2 Minute, 16 Second

Oleh Florieta Diet

PENAMPANG: Kerajaan akan membangunkan Sistem Repositori Harga dan Bekalan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kawal selia harga dan rantaian bekalan utama.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembangunan sistem tersebut merupakan salah satu strategi di bawah teras “Menaikkan Lantai” RMK-13, yang memberi tumpuan kepada usaha menangani isu kos sara hidup secara menyeluruh dan bersepadu. RMK-13 akan bermula dari tahun 2026 hingga 2030 sebagai pelan pembangunan jangka sederhana di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Pesara Guru di Dewan ITCC di sini hari ini, yang menghimpunkan lebih 1,500 peserta terdiri daripada warga pendidik, termasuk pesara dan pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG).

Menurut Armizan, Sistem Repositori yang bakal dibangunkan itu akan mengumpulkan data harga dan bekalan bukan sahaja di peringkat peruncitan, tetapi juga dari peringkat pengeluar, pemborong dan pengimport. Ini akan membolehkan kerajaan mengenal pasti sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah serta aktiviti pencatutan atau manipulasi oleh pihak tertentu termasuk orang tengah.

Beliau menjelaskan bahawa data komprehensif ini akan dimanfaatkan oleh pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian, selain turut melibatkan kerjasama erat dengan pihak industri. Sistem ini dijangka akan memperkukuh penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Persaingan 2010.

Armizan turut memaklumkan bahawa kajian awal mengenai perbezaan harga antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia telah dimulakan sejak awal tahun ini, dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Laporan awal menunjukkan terdapat barangan yang harganya lebih tinggi di Sabah dan Sarawak walaupun wujud bekalan tempatan, seperti ayam.

Beliau berkata Jawatankuasa Penstabilan Harga di peringkat negeri Sabah kini telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama beliau dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk James Ratib. Katanya, pada peringkat awal, kerajaan akan menumpukan kepada lima jenis barangan utama di Sabah untuk ditangani dalam tempoh yang lebih singkat, antaranya ayam yang merupakan antara komoditi asas dengan bekalan sedia ada tetapi menunjukkan perbezaan harga yang besar berbanding Semenanjung.

Dalam pada itu, Armizan menegaskan bahawa pendekatan menangani kos sara hidup oleh Kerajaan MADANI bukan sahaja tertumpu kepada kestabilan harga semata-mata, tetapi turut merangkumi usaha meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Katanya, tiga komponen paling asas diberi perhatian iaitu perumahan mampu milik, reformasi pendidikan untuk kebolehpasaran rakyat, dan mewujudkan ekosistem pekerjaan yang kondusif.

“Kejayaan mana-mana dasar kerajaan seperti RMK-13 bergantung kepada kefahaman dan pembabitan rakyat secara langsung, justeru program seperti Seminar Kenegaraan ini amat penting dalam merakyatkan agenda Malaysia MADANI kepada semua lapisan masyarakat, khususnya warga pendidik yang merupakan antara pemacu utama pembangunan negara,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular