Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Pakaian dan barang peribadi milik Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang dipakai ketika kejadian masih belum diambil pihak polis untuk tujuan siasatan, menurut peguam keluarga mangsa.
“Semua pakaian dan barang peribadi ini merupakan bahan bukti penting yang sewajarnya diperiksa dan dianalisis secara forensik bagi menentukan kematian Zara melibatkan unsur-unsur jenayah atau tidak.
“Kegagalan pihak polis berbuat demikian menimbulkan tanda tanya serius sama ada siasatan mereka hanya fokus ke arah mati mengejut atau bunuh diri sahaja; sedangkan ibu Zara telah memfailkan beberapa laporan polis memohon siasatan berkenaan kematian Zara yang mempunyai unsur-unsur jenayah,” kata peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat.
Pasukan guaman berpendapat bahawa kertas siasatan yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara adalah tidak lengkap, tidak menyeluruh dan mempunyai fokus yang sangat kecil.
Apatah lagi, tidak ada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengkebumiannya.
Menurut kenyataan itu lagi, semua pakaian dan barang tersebut telah diserahkan kepada ibu Zara oleh pihak hospital pada 16 Julai lalu dan kesemua pakaian dan barang tersebut kini berada dalam jagaan seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai wakil tunggal kepada ibu Zara.
“Sejak 17 Julai lalu sehingga ke hari ini, pihak polis tidak pernah mengambil atau memohon dari anak guam kami untuk mendapatkan semua pakaian dan barang tersebut bagi tujuan siasatan.
“Kami sangat terkejut dengan perkara ini kerana sepanjang pengalaman kami melakukan kes-kes perbicaraan jenayah di mahkamah, pihak polis akan merampas semua item yang dipakai oleh seorang mangsa yang disyaki mati akibat apa-apa tindakan jenayah bagi tujuan siasatan,” kata peguam.
Dalam pada itu, pasukan guaman juga merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinannya dalam kes ini.
“Kami berharap beliau dapat menasihati Peguam Negara agar mengembalikan semula kertas siasatan kepada pihak polis, dan bersetuju dengan cadangan kami mengadakan bedah siasat dan inkues dengan seberapa segera bagi menentukan punca sebenar kematian Zara dan sekiranya wujud unsur-unsur jenayah dalam kematiannya.”
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tiada perlindungan diberi kepada mana-mana pihak termasuk pelaku kes membabitkan kematian Zara.
Zara yang ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini pada jam 11 tengah hari, 17 Julai lalu.
Kejadian itu tular di media sosial susulan dakwaan kejadian buli yang mengaitkan anak menteri, VIP dan individu berpengaruh dengan kematian pelajar terbabit, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Keluarga Zara pada 1 Ogos dilaporkan memohon agar satu inkues diadakan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terlibat dalam kematian Zara.
Hari ini, ibu Zara membuat satu laporan polis di Balai Polis Sipitang berkenaan kewujudan kesan-kesan lebam di sebahagian besar belakang Zara pada 17 Julai semasa jenazah Zara dimandikan di Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu, Sabah.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://chronivo.my/2025/08/01/keluarga-zara-mohon-inkues/