Kota Kinabalu : Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan dan melindungi hak serta kepentingan Sabah khususnya dalam isu-isu yang melibatkan sempadan dan kedaulatan wilayah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan berkaitan sempadan negara mesti melibatkan penyertaan penuh kerajaan negeri, termasuk Sabah.
Katanya, rundingan mengenai sempadan di Laut Sulawesi atau dikenali sebagai kawasan Ambalat tidak akan dimuktamadkan tanpa persetujuan Kerajaan Negeri Sabah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Saya mahu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dengar sendiri dan beri pandangan. Dalam kerajaan Madani, kita buat keputusan bersama. Ini bukan keputusan senyap atau rahsia,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Perdana Menteri turut berkata, beliau dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersama Ketua Menteri Sabah telah menyertai perbincangan rasmi dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bagi membincangkan isu-isu sempadan dan potensi kerjasama pembangunan sumber tenaga di kawasan maritim bersama.
“Kalau minyak itu sebahagian di bawah dasar laut Malaysia dan sebahagian di bawah Indonesia, kerjasama harus dibentuk.
“Itu bukan bermakna kita menyerah. Kita tidak akan korbankan satu inci pun hak Sabah. Ini adalah usaha diplomatik yang berprinsip,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak pernah berkompromi terhadap kedaulatan wilayah Sabah.
Beliau memaklumkan bahawa kerajaan telah membelanjakan puluhan juta ringgit dalam pertempuran undang-undang di Mahkamah Sepanyol demi mempertahankan hak Sabah daripada sebarang pencerobohan atau tuntutan luar.
“Kita lawan maksimum di peringkat antarabangsa. Ini negara kita. Sabah sebahagian daripada Malaysia. Dan kita tidak akan biarkan walau satu inci tanah atau laut Sabah terlepas ke tangan mana-mana pihak,” tegasnya.
Mengulas tohmahan di Parlimen yang mendakwa kerajaan menyerahkan kawasan, Anwar menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan bersifat menghasut.
Katanya, hubungan baik dengan negara jiran seperti Indonesia tidak bermaksud tunduk, tetapi sebaliknya membuka ruang rundingan matang dan kerjasama dua hala yang saling menguntungkan.
Beliau turut menegaskan bahawa apa-apa bentuk kerjasama seperti projek bersama antara Petronas dan Pertamina di kawasan laut dalam masih tertakluk kepada rundingan lanjut dan undang-undang sedia ada.
“Kita buat semua ini dengan telus. Rakan-rakan di Sabah jangan tertipu dengan mainan politik. Ini soal kedaulatan, bukan isu untuk dipermainkan,” katanya lagi. – SABAH MEDIA