HomeUtama‘Bantuan ini memberi nafas baru buat kami’ - Penerima ziarah amal Mutiara...

‘Bantuan ini memberi nafas baru buat kami’ – Penerima ziarah amal Mutiara GRS

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Bagi Sumarti Calla, seorang ibu tunggal dari Kampung Ranggu, bantuan dapur dan kewangan yang diterimanya hari ini bukan sekadar barangan, ia adalah harapan dan kelegaan dalam mengharungi kehidupan harian yang mencabar.

Sumarti

“Saya ada empat anak. Tiga masih bersekolah. Saya jual makanan, kadang-kadang dapat RM100 sehari, kadang-kadang kurang. Bantuan ini sangat-sangat membantu,” katanya sambil menahan sebak.

Sumarti adalah antara puluhan penerima bantuan dalam program Ziarah Amal Mutiara GRS di Tawau, satu inisiatif kebajikan anjuran Biro Kebajikan dan Biro Lawatan Mutiara GRS yang diketuai oleh Datin Seri Julia Salag, isteri Ketua Menteri Sabah.

Sementara itu, Bagi Rusia Mahmud, 58, kehadirannya ke majlis hari ini bukan untuk dirinya, tetapi mewakili ibunya yang kini sedang dirawat akibat bengkak di hempedu.

Rusia

“Ibu saya pun ibu tunggal. Dalam keadaan dia sakit, kami tak sangka masih ada pihak yang ingat. Bantuan ini sangat besar maknanya,” katanya mewakili keluarganya dari Kampung Sungai Gading, Wakuba.

Dalam suasana sederhana, program itu menyentuh hati banyak penerima yang rata-ratanya ibu tunggal, menerima bantuan yang disampaikan termasuk barangan keperluan asas, sumbangan tunai dan keperluan khusus untuk pelajar berkeperluan khas.

“Dengan kos hidup sekarang, kami ibu-ibu tunggal kadang tak tahu mana mahu mula. Tapi bila ada bantuan seperti ini, terasa lega. Terima kasih kepada Datin Seri Julia dan Mutiara GRS,” tambah Sumarti.

Mutiara Gagasan Rakyat Sabah (GRS) meneruskan siri jelajah kebajikannya hari ini dengan menjayakan program Ziarah Amal Tawau, menyantuni golongan memerlukan termasuk anak-anak istimewa, ibu tunggal dan pelajar Pendidikan Khas di beberapa sekolah sekitar daerah ini.

Program yang dianjurkan oleh Biro Kebajikan dan Biro Lawatan Mutiara GRS ini menyerahkan sumbangan kepada penerima terpilih termasuk rumah anak-anak yatim, madrasah, dan sekolah-sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Menurut Julia, program ini merupakan kesinambungan usaha Mutiara GRS sepanjang tahun untuk menjelajah ke pelbagai daerah demi menyampaikan bantuan secara langsung kepada komuniti yang memerlukan.

“Bulan lalu kami berada di Nabawan, hari ini di Tawau, dan pada bulan akan datang kami akan ke kawasan pedalaman lain pula. Ini merupakan satu pengalaman istimewa buat kami kerana dapat bersama-sama menyantuni anak-anak istimewa serta membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berharap agar usaha ini turut menjadi inspirasi kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk turut serta memainkan peranan memperjuangkan kebajikan masyarakat.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular