Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Sabah dan Sarawak berpotensi besar untuk muncul sebagai pusat pengeluaran nenas utama negara dalam tempoh terdekat, sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkasa industri buah-buahan tropika bagi pasaran tempatan dan eksport.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohammad Sabu berkata, pada masa ini, negeri Johor telah mencatat pengeluaran nenas yang tinggi terutama di Semenanjung.
“Setakat ini, kita telah mengenal pasti kawasan seluas 300 hektar di Sinua untuk dimajukan bersama Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) sebagai projek perintis.

“Namun begitu, potensi sebenar lebih besar, dengan ribuan hektar tanah di pelbagai lokasi lain dikenal pasti untuk pembangunan ladang nenas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meluncurkan World Irrigation Forum sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup
Mohamad berkata, antara lokasi lain yang turut berpotensi ialah Kota Marudu dan Beaufort, selain beberapa kawasan di sepanjang jajaran jalan utama yang sesuai bagi penanaman berskala besar dan komersial.
“Kita bukan sekadar menyasarkan pasaran domestik, malah pembangunan ini juga dirancang bagi tujuan eksport nenas ke luar negara, sekali gus meningkatkan nilai tambah hasil pertanian Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam program sama, turut dimeterai beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) termasuk pemasaran sarang burung walit ke pasaran China.
Perjanjian melibatkan eksport sarang burung mentah dan sarang burung yang telah diproses ini diyakini mampu memperluas potensi pasaran agro-produk bernilai tinggi dari Malaysia.
Pelbagai inisiatif dan pengumuman penting turut dilaksanakan sepanjang HPPNK 2025, dengan majlis perasmian rasmi dijadualkan berlangsung esok pagi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Chronivo