Oleh Erdie Ab Wahid
ota Kinabalu : Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) melangkah ke satu fasa baharu dalam usaha memperkasa industri perikanan tempatan dengan melancarkan produk baharu ikan sejuk beku kerapu Ko-Nelayan.
Penolong Pengurus Besar (Pembangunan Industri Perikanan) Ko-Nelayan Burhan Japar berkata, produk ikan kerapu hibrid sejuk beku itu adalah sebagai alternatif lebih moden dan berdaya saing untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
“Hari ini kita meluncurkan produk baru Ko Nelayan iaitu produk sejuk beku ikan kerapu hibrid. Sebelum ini memang kita ada pengeluaran ikan tapi kita menjual dalam bentuk ikan hidup.
“Tetapi pada kali ini, kita proses buang perut, buang sisik dan insang. Kemudian kita sejuk bekukan sebelum dimasukkan di dalam kotak khas berpenampilan menarik untuk meningkatkan nilai pasaran dan kemudahan pengedaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Chronivo pada Majlis Peluncuran Produk Baharu Ikan Sejuk Beku Kerapu Ko Nelayan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Peluncuran produk itu adalah sempena pelaksanaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 kali ke-50.
Burhan berkata, sebelum ini pihaknya hanya menjual ikan dalam bentuk hidup ke restoran makanan laut.
Namun kini katanya, pihaknya melangkah ke depan dengan memproses, membungkus dan membekukan ikan kerapu hibrid secara profesional untuk pasaran lebih luas.
Sementara itu, Burhan berkata, operasi penternakan ikan kerapu dilaksanakan di sangkar-sangkar Ko-Nelayan di Trayong Eco-Fishing Point, Tuaran yang kini mempunyai sebanyak 83 unit sangkar, mampu menghasilkan sehingga 21 metrik tan setahun.
Manakala dari segi pemprosesan, ianya dilakukan di Taman Mini Akuakultur Kampung Laya-Laya Tuaran, yang turut menempatkan kemudahan pemprosesan berteknologi sesuai untuk pengeluaran sejuk beku.
Ditanya mengenai sasaran pasaran, Burhan berkata, pihaknya menyasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa, khususnya ke negara-negara seperti Singapura, China dan Timur Tengah yang diyakini mempunyai kualiti dan nilai eksport tinggi.
“Kita sedang berusaha mendapatkan rakan pengedaran di luar negara untuk membawa produk kerapu Sabah ini ke pasaran antarabangsa.
“Dengan pembungkusan dan penjenamaan lebih baik, kita yakin mampu menembusi pasaran tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Burhan berkata, Ko-Nelayan komited untuk menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara, dengan memastikan produk berasaskan ikan laut berkualiti tinggi dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
“Walaupun ikan kerapu ini tergolong dalam kategori premium, kita akan pastikan pengeluaran produk ini konsisten dan mampu diakses oleh semua rakyat, bukan sahaja untuk pasaran mewah,” katanya. – Chronivo / FOTO UKK KO NELAYAN