Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Usaha memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam pembangunan pertanian terus diperkasa apabila tiga memorandum persefahaman (MoU) dimeterai hari ini, membabitkan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bersama beberapa syarikat strategik.
Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan disaksikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Menurut beliau, kerjasama tersebut dijangka memberi impak besar kepada sektor pertanian dan industri makanan negara, selain membantu mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan makanan utama seperti jagung bijian.
“MoU pertama dimeterai antara Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Keningau dan Absolute Moringa Sendirian Berhad dengan nilai kerjasama berjumlah RM10 juta. Ia bertujuan memperkasakan pengedaran dan pemasaran input pertanian di Sabah melalui kerjasama strategik,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.
MoU kedua pula melibatkan LPP dan Desa Keningau Livestock Industries Sendirian Berhad bagi pelaksanaan projek tanaman jagung bijian bernilai RM3 juta.
“Projek ini akan dimulakan dalam masa terdekat dan bertujuan meningkatkan pengeluaran jagung bijian tempatan melalui pendekatan korporat serta pemindahan teknologi. Ini secara langsung akan membantu menurunkan kos makanan ternakan serta meningkatkan kadar sara diri negara,” katanya.
MoU ketiga dimeterai antara LPP dan Sawit Kinabalu Farm Products Sendirian Berhad, yang membabitkan kerjasama teknikal dalam melaksanakan projek integrasi ternakan lembu biak baka di ladang sawit milik syarikat itu.
“Walaupun kerjasama ini tidak melibatkan nilai kewangan secara langsung, ia penting dalam usaha memaksimumkan penggunaan tanah pertanian serta meluaskan pelaksanaan ternakan integrasi di negeri ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Arthur berkata kerjasama strategik seumpama itu sangat signifikan dalam memastikan keterjaminan makanan negara, khususnya dalam sektor ternakan ruminan seperti lembu.
“Kadar sara diri daging lembu ketika ini hanya sekitar 16 peratus, sedangkan sasaran kita menjelang 2030 adalah untuk mencapai 50 peratus. Justeru, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta amat penting bagi memastikan impak ekonomi dapat dirasai hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.
HPPNK 2025 yang berlangsung selama tiga hari di SICC menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pemain industri pertanian, penternakan dan perikanan, serta usahawan tempatan dari seluruh negara.