HomeUtamaKeluarga Zara mohon inkues

Keluarga Zara mohon inkues

Read Time:3 Minute, 18 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Keluarga kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memohon agar satu inkues diadakan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terlibat dalam kematian pelajar tingkatan 1 tersebut.

Zara yang ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sinii, 17 Julai lalu.

Kejadian itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.

Peguam keluarga Hamid Ismail dan Shahlan Jufri memaklumkan bahawa ibu Zara, Noraidah Lamat, 45, telah membuat laporan polis tambahan pada 30 Julai dan, antara lain, memohon agar kubur Zara digali semula bagi tujuan inkues.

“Selaras dengan kehendak anak guam kami (Noraidah), pada 31 Julai 2025, kami telah menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu memohon agar mereka melaksanakan kuasa mereka di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan satu inkues bagi menentukan punca kematian si mati dengan kadar segera.

“Kami berharap Jabatan Peguam Negara akan bersetuju dengan permohonan kami di atas bagi membantu pihak polis menyelesaikan siasatan mereka dalam tempoh terdekat.

“Kami dengan ini juga menafikan semua tuduhan bahawa kematian Zara adalah disebabkan oleh ibunya. Tuduhan ini adalah tidak benar dan adalah satu fitnah jahat kepada anak guam kami. Tidak ada ‘plot twist’ dalam kes ini,” kata peguam dalam suatu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pertanyaan lanjut daripada pihak media selepas ibu Zara dilaporkan menyatakan hasrat untuk menggali semula jenazah anaknya bagi tujuan bedah siasat.

Menurut peguam, laporan polis tambahan itu difailkan di Balai Polis Sipitang memohon agar pihak polis menyiasat kes kematian Zara secara teliti.

“Ini kerana beliau (ibu Zara) mempunyai rakaman perbualan telefon dengan Zara yang mana Zara memaklumkan bahawa terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu dan/atau membulinya. Antaranya ialah Kak M yang pernah mengugut Zara dengan berkata “kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.”

“Dalam laporan polis itu juga, anak guam kami menyatakan keraguannya tentang punca kematian Zara yang kononnya jatuh dari tingkat 3 bangunan. Wajah Zara tidak mempunyai kecederaan fizikal, lebam atau luka yang lazimnya berkait dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi. Ini ditambah lagi dengan tindakan pihak sekolah yang meminta anak guam kami agar tidak membuat laporan polis.

“Anak guam kami berpendapat bahawa pihak polis sepatutnya melakukan bedah siasat terhadap mayat Zara bagi membantu siasatan. Ini kerana tidak ada bedah siasat dilakukan terhadap mayat Zara sebelum beliau dikebumikan. Bedah siasat akan membantu siasatan pihak polis dalam menentukan punca sebenar kematian Zara,” kata peguam.

Peguam berkata, Ibu Zara percaya bahawa Zara tidak membunuh diri. Sebaliknya, dia percaya wujud unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kematian Zara.

“Atas dasar ini, anak guam kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

Namun, menurut peguam sejak 17 Julai 2025 sehinggalah 27 Julai 2025, anak guam mereka tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak polis tentang perkembangan siasatan. Pihak polis juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang siasatan mereka kepada media massa dalam tempoh tersebut.

“Kesunyian inilah yang merisaukan anak guam kami. Kesunyian ini bagi anak guam kami bagaikan satu indikasi bahawa kematian Zara tidak disiasat oleh pihak polis.

“Hanya pada 28 Julai 2025, Pesuruhjaya Polis Sabah mengeluarkan satu kenyataan ringkas bahawa siasatan sedang dijalankan. Dan pada 31 Julai 2025, dimaklumkan dalam satu sidang media oleh Pesuruhjaya Polis Sabah bahawa 60 orang telah dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.

Hamid dan Shahlan berkata kematian Zara adalah satu tragedi. Apatah lagi tragedi tersebut berlaku di dalam kawasan asrama sekolah.

“Kami menasihati para netizen agar tidak membuat sebarang fitnah terhadap mana-mana individu berkaitan dengan kematian Zara.

Sesiapa yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis, sila salurkan maklumat itu kepada pihak polis atau kepada kami.

“Kami sekali lagi berterima kasih kepada semua individu dan organisasi yang telah menularkan kes ini demi mencapai keadilan buat Zara,” kata peguam.

LINK BERITA TERDAHULU:
https://chronivo.my/2025/07/31/siasatan-kes-kematian-pelajar-asrama-peringkat-akhir-60-saksi-dipanggil/

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular