TUARAN: Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025 bakal menghimpunkan keunikan budaya dan semangat perpaduan rakyat Sabah apabila berlangsung selama empat hari bermula 7 hingga 10 Ogos ini di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Kampung Lok Batik, Tuaran.
Naib Presiden Persatuan Bajausama Sabah, Datuk Japlin Akim dalam kenyataannya berkata, festival tersebut merupakan wadah untuk memperkasakan warisan budaya serta mempererat hubungan antara pelbagai kaum dan etnik di negeri ini.
Katanya, festival itu akan menampilkan kekayaan adat resam dan tradisi masyarakat Bajausama yang penuh keunikan serta daya tarikan tersendiri, sejajar dengan usaha mempromosikan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa.
Majlis perasmian festival itu akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Penganjuran festival kali ini akan diserikan dengan pelbagai pengisian merangkumi persembahan kebudayaan, pameran dan jualan produk kraftangan, pertandingan Ratu Serimpak, pertandingan Betitik, serta demonstrasi masakan dan pameran warisan makanan tradisional Sabah.
Selain itu, turut diadakan pertandingan fotografi digital bertemakan makanan, bengkel seni dan pelbagai aktiviti komuniti yang bersifat mendidik dan memperkenalkan warisan kepada generasi muda.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan penglibatan menyeluruh masyarakat merentasi kaum, agama dan fahaman politik. Ia juga menzahirkan komitmen bersama dalam memelihara dan memartabatkan budaya tempatan sebagai aset penting negeri.
Sebagai nilai tambah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara bersama Kerajaan Negeri Sabah akan turut menganjurkan Festival Cita Rasa Warisan @Sabah 2025 sempena festival ini.
Acara berkenaan akan menampilkan demonstrasi masakan tradisional oleh chef-chef terkenal tanah air, sekaligus memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali dan merasai warisan kulinari yang menjadi kebanggaan negara.
Japlin menekankan bahawa penganjuran festival ini bukan sahaja memupuk pemahaman dan penghargaan terhadap budaya, malah memperkukuh semangat toleransi dan keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang.
Beliau turut menyeru masyarakat dari seluruh negara agar hadir dan bersama-sama menjayakan festival ini yang terbuka kepada semua tanpa mengira kaum, umur mahupun agama.
Orang ramai juga berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti berfaedah termasuk bengkel seni, sesi pembelajaran budaya dan demonstrasi langsung berkaitan warisan, yang akan memberi pengalaman mendalam mengenai tradisi masyarakat Bajausama dan budaya Sabah secara keseluruhan.
Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh diperoleh menerusi portal rasmi Facebook Jabatan Penerangan Sabah, media sosial MOTAC termasuk TikTok, serta liputan di RTM, Bernama dan media tempatan.
Penganjur berharap festival ini bukan sahaja menjadi medan pertemuan budaya, tetapi juga simbol kebanggaan rakyat terhadap warisan yang diwarisi turun-temurun, sekaligus memperkukuh identiti Sabah dalam kepelbagaian Malaysia.