Kuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini mengalu-alukan keputusan Kerajaan Amerika Syarikat untuk mengurangkan tarif balas terhadap eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
MITI dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa rundingan tarif antara kedua-dua negara yang bermula pada 6 Mei 2025 telah pun dimuktamadkan secara rasmi pada 31 Julai 2025.
“Pengurangan tarif ini adalah hasil daripada penglibatan berterusan kedua-dua kerajaan melalui pelbagai platform dua hala dan mencerminkan tahap pelengkap yang tinggi antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam perdagangan serta pelaburan yang telah terjalin lebih enam dekad,” kata MITI.
Menurut MITI, kadar baharu 19 peratus itu juga selaras dengan kadar tarif ke atas negara lain di rantau Asia Tenggara. Malaysia juga dilaporkan kekal tegas dalam mempertahankan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar penting bagi menyokong kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi negara.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan keputusan tersebut sebagai mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.
“Ini juga bukti kepada kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagangan dan pelaburan yang boleh dipercayai,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak Perwakilan Perdagangan AS dan Jabatan Perdagangan AS atas kerjasama mereka sepanjang proses rundingan.
Dalam menguruskan kesan tarif 19 peratus itu, MITI memaklumkan ia akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi:
• Mencari jalan bagi mengurangkan impak tarif terhadap eksport negara;
• Menggalakkan pengeksport memanfaatkan sepenuhnya 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia;
• Meneruskan pelaksanaan program reformasi industri seperti Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau, dan Strategi Semikonduktor Negara;
• Meneroka mekanisme untuk menyokong syarikat tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
MITI turut mengakui bahawa prospek ekonomi global semakin tidak menentu sejak Mac 2025 berikutan perubahan dasar perdagangan, ketidaktentuan tarif, dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
Namun demikian, Malaysia kekal berdaya tahan dengan sokongan dasar yang berterusan serta reformasi industri dan ekonomi yang berupaya mengekalkan penggunaan domestik secara mampan.
“MITI akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memaksimumkan peluang daripada perkembangan ini, termasuk lonjakan momentum pelaburan yang diluluskan, pelaksanaan projek infrastruktur, dan inisiatif pembangunan nasional berimpak tinggi,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, MITI merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses rundingan, termasuk Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Pejabat Perdana Menteri; pelbagai kementerian dan agensi; serta pihak industri seperti AMCHAM dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC).
MITI menjangkakan beberapa siri program libat urus akan dilaksanakan dalam bulan-bulan mendatang bagi memberi penerangan lanjut mengenai pelaksanaan kadar tarif baharu ke atas eksport Malaysia ke pasaran AS.
Menurut MITI, AS merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia bernilai RM198.65 bilion dan juga penyumbang utama pelaburan asing, dengan nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM32.82 bilion pada tahun 2024.
—