Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Sebanyak 43 buah pasukan melibatkan seramai 258 peserta menyertai pertandingan E-Sukan 2.0 sempena penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di sini pada Jumaat.
Penganjuran E-Sukan yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Malaman Datuk Seri Arthur Jospeh Kurup itu merupakan pengisian di dalam Segmen Agro Millenia.
Arthur ketika ditemui berkata, penganjuran E-Sukan ini merupakan siri kedua, selepas siri pertama diadakan pada HPPNK 2023 di Ipoh, Perak yang dianjurkan secara bersama oleh NAFAS dan NEKMAT.
“Penganjuran perlawanan Mobile Legends (MLBB), pada awalnya hanya dibuka untuk 32 pasukan sahaja tetapi disebabkan sambutan sangat luar biasa dari warga Sabah, kini sebanyak 43 pasukan dengan 258 orang anak muda yang berdaftar untuk bertarung sepanjang tiga hari bermula hari ini sehingga 3 Ogos 2025.

“Hadiah terkumpul yang kita menawarkan adalah sebanyak RM10,000. Jadi saya ucapkan selamat bertanding kepada semua anak-anak muda yang datang daripada seluruh Sabah untuk menyertai program e-Sukan ini,” katanya.
Beliau berkata, objektif penganjuran program itu juga adalah bagi mengumpulkan anak-anak muda selain menarik minat untuk sama-sama memeriahkan sambutan HPPNK tahun ini.
“Walaupun ini adalah acara dan juga pertandingan sampingan, tetapi ia dapat menarik anak-anak muda daripada luar untuk sama-sama kita menyertai HPPNK.
“Mereka juga dapat menikmati kemudahan, pameran, tawaran, jualan kita semua yang kita bawa semasa program ini. Kita ingin melihat lebih ramai anak-anak muda dalam usaha kita secara menyeluruh untuk membangunkan sektor pertanian dan agromakanan negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur berkata,selain penganjuran E-Sukan, beberapa program lain turut diadakan termasuklah pameran teknologi maklumat, reruai dan sebagainya.
“Kita juga akan turut menunjukkan teknologi-teknologi automasi yang paling baru bagi menarik lebih ramai keminatan orang muda, kita juga ada banyak perkhidmatan daripada kerajaan.
“Ini juga antara perkara yang ingin kita tunjukkam kepada golongan belia bahawa kita sedia membantu mengurangkan halangan untuk anak muda ini menceburi bidang pertanian dan memberi bantuan khidmat nasihat, sokongan dan sebagainya,” katanya. – Chronivo