HomeUtamaTun Musa hadiri sambutan Hari Pahlawan Sabah 2025

Tun Musa hadiri sambutan Hari Pahlawan Sabah 2025

Read Time:1 Minute, 14 Second

Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada Khamis menghadiri Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2025 yang berlangsung di padang kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini.

Acara dimulakan dengan Yang di-Pertua Negeri memeriksa perbarisan kawalan kehormatan utama (KKU) oleh 102 pegawai kanan polis serta pegawai rendah polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah yang diketuai Deputi Superintendan Polis, Akmal Nashreq Abd Malik dan Penolong Pegawai Baris, Asisten Superintendan Polis, Sallihan Lem Matin.

Upacara diikuti tiupan ‘Last Post’ dan bacaan doa bagi memperingati wira negara yang terkorban sebelum diserikan dengan lintas hormat oleh 13 veteran Angkatan Tentera Malaysia dan 20 pesara Polis Diraja Malaysia serta persembahan koir melibatkan ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT).

Sambutan diteruskan dengan pantomim bertajuk Tanduo Titisan Darah Di Bumi Merdeka sebagai penghargaan terhadap anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan Tanduo pada 2013 disusuli bacaan puisi Mekar Di Hati Pahlawanku.

Kemuncak acara menyaksikan Tun Musa menerima sembah kenal daripada waris anggota yang terkorban ketika menyertai OP Daulat di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Tun Musa turut melawat Muzium Polis Sabah dan gerai pameran keselamatan, diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Jauteh berkata, PDRM dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bertindak selaku penganjur bersama sambutan itu dan mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakannya.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi mengenang jasa pasukan keselamatan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular