Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang peniaga dijatuhi hukuman denda sebanyak RM1,600 atau penjara satu bulan jika gagal membayar denda, oleh Mahkamah Majistret di sini kerana melakukan perbuatan khianat.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Jumain Maming, 43, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Jumain mengaku telah melastik tingkap kaca rumah seorang lelaki menggunakan batu di Taman Inanam Laut pada 26 Julai lalu kira-kira jam 11 pagi, menyebabkan kerugian sebanyak RM800.
Mahkamah diberitahu bahawa pengadu dimaklumkan oleh isterinya mengenai cermin pintu rumah mereka yang pecah. Pengadu kemudian memeriksa rakaman CCTV di rumah menggunakan telefon bimbitnya dan mendapati cermin tersebut pecah akibat dilastik oleh tertuduh.
Rakaman CCTV menunjukkan tertuduh sedang melastik seekor anjing di halaman rumah pengadu, namun batu tersebut terpantul dan terkena cermin pintu.
Siasatan lanjut mendedahkan bahawa tertuduh sebelum ini pernah membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengenai pengadu yang memelihara anjing. Namun, pengadu memiliki lesen sah daripada DBKK untuk tujuan tersebut.
Tertuduh telah ditahan pada hari yang sama susulan laporan polis yang dibuat oleh pengadu.
Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan mengendalikan pendakwaan.