Oleh J. Evachel John
Kota Kinabalu: Siasatan kes kematian pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah Sekolah Menengah Agama di Papar kini berada di fasa akhir, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Menurutnya, pihaknya telah merekodkan keterangan 60 orang saksi yang terdiri daripada pelajar, ibu bapa serta kakitangan sekolah.
Jauteh berkata, siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kematian dan juga keadaan persekitaran, namun, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlakunya unsur buli.
“Siasatan berhubung kes seorang pelajar di salah satu asrama sekolah yang dijumpai jatuh daripada bangunan ini telah berada di peringkat akhir yang mana keterangan lebih kurang 60 saksi telah pun dirakam oleh pihak PDRM.
“Siasatan telah kita bawa ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Pahlawan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini pada Khamis.
Mangsa, Zara Qairina Mahathir, 13, yang ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini pada jam 11 tengah hari, 17 Julai lalu.
Kejadian itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.
Mengulas mengenai spekulasi yang tular di media sosial, termasuk dakwaan kononnya pelajar yang terlibat adalah anak-anak kepada individu berpangkat VIP, termasuk anak beliau sendiri, Jauteh menafikan sekeras-kerasnya.
“Saya tegaskan bahawa saya tidak mempunyai anak yang pernah dan sedang bersekolah di sana tidak ada anak saya. Jadi ini bererti bahawa ada netizen yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini,” katanya.
Jauteh berkata arwah disahkan meninggal dunia pada 17 haribulan, dan pada hari yang sama beliau telah berbincang dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sabah, berhubung kes tersebut.
“Kemudian, pada 18 haribulan, beliau telah menghantar satu pasukan khas daripada IPK untuk membantu siasatan. Proses menyiapkan kertas siasatan mengambil beberapa hari kerana kita sedia maklum bahawa pelajar-pelajar yang terlibat berada dalam keadaan trauma.
“Pihak siasatan juga dibantu oleh pakar-pakar kaunseling bagi membolehkan pelajar-pelajar ini menceritakan perkara sebenar yang telah berlaku,” katanya.
Menjawab kritikan netizen mengenai tempoh siasatan yang dianggap lambat, beliau menjelaskan siasatan perlu dijalankan dengan rapi dan profesional termasuklah mengambil kira emosi pihak yang terlibat.
“Netizen mahukan satu siasatan yang telus dan menyeluruh, sebab itu kita mengambil sedikit waktu untuk menyiapkan siasatan ini, yang melibatkan 60 orang saksi. Kesemua saksi ini juga tidak dapat diambil keterangannya secara langsung.
“Kita juga perlu mengambil kira bahawa para saksi terdiri daripada pelajar sekolah berkenaan, yang mungkin hanya melihat, mendengar, atau merupakan rakan kepada mangsa.
Jika siasatan dilakukan secara tidak profesional, ia boleh menambah trauma yang mereka alami dalam situasi ini.
“Sebab itu kita menjalankan siasatan ini secara adil dan profesional kepada semua pihak, bukan hanya melihat dari satu sudut sahaja. Malah, emosi pelajar yang kita temubual juga perlu diberi perhatian,” katanya.
Dalam pada itu, Jauteh sekali lagi meminta orang ramai khususnya netizen agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan secara menyeluruh dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses keadilan. – Chronivo