Kuala Lumpur – Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Tenaga Peralihan dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai rangka pembangunan menyeluruh yang berteraskan pendekatan holistik, menyantuni rakyat di semua peringkat serta menumpukan kepada daya saing negara melalui transformasi tenaga, teknologi dan infrastruktur.
Beliau berkata, RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen hari ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan memperkukuh teras ekonomi negara melalui pelaburan strategik dalam sektor bernilai tinggi, kelestarian alam sekitar dan tadbir urus yang cekap.
“Salah satu keutamaan kementerian saya ialah memastikan keterjaminan tenaga. Dalam RMK13, kita melihat pendekatan baharu dalam penyusunan semula dasar tenaga termasuk penggunaan teknologi termaju seperti AI serta memperkenalkan mekanisme lebih inovatif dalam pengurusan tarif, eksport tenaga boleh baharu dan galakan penggunaan tenaga secara cekap,” katanya dalam sidang media selepas pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat.
Menurut Fadillah, kerajaan turut membentangkan Rang Undang-Undang Tenaga baharu yang memperkenalkan konsep Time of Use, iaitu penggunaan tenaga secara lebih bijak dan berhemat mengikut waktu, serta memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu yang lebih mampan.
“Ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah mendorong rakyat beralih kepada penggunaan tenaga lebih bersih dan lestari. Kita juga sedang mengkaji potensi tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan konsisten untuk masa depan negara,” ujarnya.
Mengulas mengenai pengurusan air dan bencana alam, beliau menyambut baik komitmen RMK13 dalam menjamin keterjaminan bekalan air dan pelaksanaan projek mitigasi banjir di seluruh negara, termasuk di Johor, Perak, Pahang, Sarawak dan Sabah.
“Ini penting bagi menghadapi cabaran cuaca ekstrem dan memastikan kelangsungan hidup rakyat tidak terjejas oleh bencana berulang. Kementerian akan memastikan projek yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan,” katanya.
Dalam konteks pembangunan wilayah, Fadillah yang juga penyelaras hal ehwal Sabah dan Sarawak menzahirkan penghargaan terhadap tumpuan khusus yang diberikan kepada kedua-dua negeri itu.
“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Trans Borneo akan diteruskan seperti dirancang. Ini amat penting bagi memastikan keterhubungan infrastruktur dan kemudahan asas di Sabah dan Sarawak ditingkatkan setaraf dengan wilayah lain di Malaysia,” jelasnya.
Tambah beliau, pembangunan menyeluruh yang dirancang melalui RMK13 harus dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan berfasa agar manfaatnya dapat dirasai seluruh rakyat, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Dengan pendekatan terancang ini, saya percaya RMK13 akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negara yang lebih inklusif, mampan dan bersifat masa depan,” katanya.
RMK13 merupakan pelan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada transformasi ekonomi digital, keterangkuman sosial, pemerkasaan wilayah serta kelestarian alam sekitar dan sumber asli.