HomeUtamaPenerapan AI penting elak media ketinggalan: Roslan Ariffin

Penerapan AI penting elak media ketinggalan: Roslan Ariffin

Read Time:1 Minute, 43 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Penerapan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) amat penting agar organisasi media tidak ketinggalan dalam persaingan industri, kata Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Roslan Ariffin.

Menurut beliau, kegagalan untuk mengadaptasi kemajuan teknologi boleh memberi kesan buruk terhadap daya saing sesebuah organisasi media, terutamanya dalam era digital yang dipacu oleh media sosial dan automasi kandungan.

“Kita dapati mereka yang gagal untuk mengadaptasikan ilmu baharu boleh menyebabkan sesebuah organisasi media ke belakang, dan akhirnya memberi kesan buruk terhadap keseluruhan industri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Kursus dan Penyampaian Sijil Smart Journalism: AI Tools for Faster, Smarter Reporting di Hotel Promenade, hari ini.

Kursus selama tiga hari yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Wartawan Sabah (SJA) itu merupakan program pertama seumpamanya di Sabah, dan bertujuan memperkasakan wartawan dalam penggunaan teknologi AI secara cekap dan beretika.

Roslan menekankan bahawa AI merupakan satu alat yang boleh membantu wartawan mempercepatkan tugasan, memudahkan proses editorial dan memastikan organisasi media kekal relevan dalam landskap pemberitaan masa kini.

“AI bukan jalan mudah, tetapi ia antara jalan yang sedia ada untuk memastikan media terus relevan,” jelas beliau.

Namun begitu, Roslan turut menasihatkan agar wartawan lebih berwaspada dalam penggunaan teknologi ini, khususnya melibatkan penyuntingan visual dan penyebaran maklumat.

“Penggunaan gambar AI perlu dikawal, dan pastikan ada manusia di belakang setiap keputusan editorial. Kita juga akan menyambut Bulan Kebangsaan, jadi kalau guna grafik seperti Jalur Gemilang, pastikan jalur dan bintang sempurna,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar pengamal media tidak terbabit dalam penyebaran berita palsu (fake news) dan sentiasa menjaga kredibiliti sebagai wartawan yang sah.

“Dalam media, kita mesti berjaga-jaga. Jangan sampai kita hilang kredibiliti,” tegasnya.

Roslan turut melahirkan rasa kagum terhadap semangat peserta kursus dari Sabah yang disifatkan sebagai sangat berdedikasi walaupun dalam tempoh latihan yang singkat.

Tambahnya lagi, IPPTAR turut merancang penganjuran kursus lanjutan selepas ini termasuk AI in the Newsroom, undang-undang media, fotografi, penggunaan dron dan grafik digital.

“Kita membuka peluang kepada media Sabah untuk hadir ke Kuala Lumpur dan duduk di IPPTAR bagi mengikuti kursus-kursus yang lebih berfokus,” jelas beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular