HomeUtamaOrang Ramai Diingatkan Waspada Penipuan Pendaftaran Inisiatif SARA – MOF

Orang Ramai Diingatkan Waspada Penipuan Pendaftaran Inisiatif SARA – MOF

Read Time:1 Minute, 14 Second

Kuala Lumpur — Kementerian Kewangan mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan atau ‘scam’ yang mendakwa kononnya terdapat keperluan untuk mendaftar bagi menerima inisiatif penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan oleh Kerajaan Madani.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tiada sebarang pendaftaran atau permohonan diperlukan kerana kelayakan inisiatif berkenaan ditentukan secara automatik berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi semua warganegara dewasa pemegang MyKad.

“Kerajaan akan menyalurkan RM100 secara sekali gus (one-off) kepada setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas (lahir pada 2007 dan ke bawah). Pengkreditan akan dibuat terus ke dalam sistem MyKad,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada 22 juta rakyat Malaysia dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM2 bilion.

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berhubung proses kelayakan untuk menerima bantuan di bawah inisiatif tersebut.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai), Amir Hamzah memaklumkan bahawa kerajaan menggalakkan lebih ramai peniaga kecil mendaftar di bawah Yayasan MyKasih untuk menjual barangan keperluan yang diluluskan di bawah inisiatif SARA.

“Setakat 29 Julai, sebanyak 4,500 premis runcit berdaftar menawarkan lebih 90,000 barangan keperluan harian merangkumi 14 kategori seperti makanan asas, ubat-ubatan, keperluan sekolah dan produk kebersihan diri dan rumah,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga menyediakan pelbagai skim sokongan lain untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi merancakkan lagi sektor peruncitan tempatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular