KOTA KINABALU: Dua pemain skuasy muda dari Sabah mengharumkan nama negeri apabila masing-masing muncul naib juara dalam kejohanan antarabangsa Beijing Junior Squash Open 2025 yang berlangsung di Beijing Squash Centre, China dari 24 hingga 28 Julai lalu.
Gabriel Chia Yong He (kategori bawah 15 tahun) dan Adryel Levi Limus Faurillo (kategori bawah 13 tahun) masing-masing berjaya mara ke perlawanan akhir sebelum tewas kepada lawan dari China dalam perlawanan sengit di gelanggang tuan rumah.
Prestasi membanggakan ini mencerminkan bakat besar, disiplin tinggi dan kemajuan berterusan yang ditunjukkan oleh kedua-dua atlet muda tersebut dalam sukan skuasy peringkat antarabangsa.
Setiausaha Kelab Skuasy Sabah, Mohd Nizam Ali Hasan merakamkan penghargaan kepada semua jurulatih, ibu bapa dan penyokong yang terus memainkan peranan penting dalam pembangunan atlet junior Sabah.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras dan sokongan berterusan daripada semua pihak yang terlibat dalam membina asas kukuh bagi skuasy Sabah,” katanya.
Pencapaian ini sekali lagi menegaskan potensi besar atlet muda Sabah untuk bersaing di pentas antarabangsa dan menjadi inspirasi kepada generasi baharu sukan skuasy negeri ini.