HomeUtamaDidakwa pecah amanah RM17,704, wanita mengaku tidak bersalah

Didakwa pecah amanah RM17,704, wanita mengaku tidak bersalah

Read Time:1 Minute, 13 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan wang berjumlah RM17,704.

Tertuduh, Aliexandra Audrey, 25, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Amir Shah Amir Hassan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kerta pertuduhan, Aliexandra sebagai seorang pekerja di Syarikat KKRMC Trading Sdn Bhd. yang telah diamanahkan dengan wang kutipan jualan milik Syarikat sebanyak RM17,704 telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu menjadikan wang kutipan jualan itu bagi kegunaannya sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 14 Mac sehingga 30 April di premis syarikat berkenaan di Kampung Andus, Papar.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 14 tahun dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 September ini sebagai tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin tempatan.

Mahkamah turut mengenakan beberapa syarat tambahan ke atas Aliexandra, termasuk melapor diri di balai polis sebulan sekali, menyerahkan pasport (jika ada) kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Aliexandra turut dinasihatkan untuk melantik peguam bela bagi mewakilinya semasa perbicaraan nanti.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin tempatan serta beberapa syarat tambahan dikenakan ke atas tertuduh.

Aliexandra yang tidak diwakili peguam, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia kini tidak bekerja dan mempunyai dua orang anak yang perlu dijaga.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular