HomeIsu tempatanCubaan seludup 1,550 liter petrol gagal di perairan Sandakan

Cubaan seludup 1,550 liter petrol gagal di perairan Sandakan

Read Time:1 Minute, 11 Second

Sandakan :  Cubaan sebuah bot kargo membawa 1,550 liter minyak petrol tanpa dokumen sah berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada jarak kira-kira 0.8 batu nautika barat Pulau Berhala, di sini awal pagi pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot kargo tersebut cuba melarikan diri ketika dihampiri bot peronda Maritim Malaysia sebelum berjaya ditahan pada jam 1.35 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 62 jerrycan berisi 1,550 liter minyak petrol ditemui dan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Selain itu, tekong dan kru bot turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala bot kargo berkenaan dipercayai tidak mempunyai lesen operasi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Suhairy berkata, dua individu yang ditahan masing-masing berusia 42 dan 38 tahun.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan penyeludupan barangan kawalan, kemasukan individu tanpa permit sah dan pengendalian vesel tanpa dokumen sah.

Menurutnya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM27,000.

“Tindakan tegas ini selaras dengan komitmen Maritim Malaysia untuk memastikan perairan negara bebas daripada aktiviti jenayah maritim,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim terus ke Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-222519 atau talian kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil. – Chronivo / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Mahasiswa UiTM himpun 180kg E-Waste, tingkat kesedaran alam sekitar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular