HomeUtamaSerbuan dadah di Lahad Datu: Tiga penjawat awam antara lima ditahan

Serbuan dadah di Lahad Datu: Tiga penjawat awam antara lima ditahan

Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh Sitti Nor azizah Talata

LAHAD DATU: Tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masih berkhidmat antara lima lelaki yang ditahan dalam satu serbuan berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta senjata berbahaya di Taman Harapan, Jalan Silam pada Isnin (28 Julai).

Penahanan itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam operasi khas ‘Op Tapis’ sekitar jam 11.30 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, kelima-lima suspek yang berusia antara 24 hingga 38 tahun ditahan hasil risikan terhadap kegiatan yang dijalankan di sebuah rumah kediaman.

“Tiga daripada suspek adalah penjawat awam iaitu anggota PDRM yang masih dalam perkhidmatan. Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil bagi memastikan integriti pasukan polis sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 0.41 gram syabu, 224 liter cecair ketum, 8.20 liter ubat batuk jenis Dynadryl Syrup dan sebilah pedang samurai dan enam bilah parang.

Dzulbaharin berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan sebanyak RM11,655.40.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Kelima-lima suspek direman sehingga 2 Ogos 2025 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terbabit dalam aktiviti jenayah.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan. PDRM memandang serius penglibatan penjawat awam khususnya anggota polis dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah bagi membantu usaha membanteras jenayah di daerah Lahad Datu.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular