Kota Kinabalu: Program Jelajah Wira Madani ‘Jomsihat Jomriadah’ adalah manifestasi kesungguhan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah dalam melahirkan warga berdisiplin dan berdaya tahan.
Pengarahnya, Datuk Mohd Harris Ali berkata, penganjuran program berbentuk pembangunan fizikal dan mental itu penting untuk memenuhi ekspektasi tinggi masyarakat terhadap anggota beruniform.
“Dalam persekitaran dunia yang kompleks dengan ekspektasi yang sentiasa tinggi, anggota beruniform bukan sahaja perlu cekap dalam tugas harian, malah perlu mempunyai kekuatan mental, fizikal dan spiritual yang tinggi.
“Penganjuran program ini penting untuk melahirkan warga JPJ Negeri Sabah yang berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai jati diri yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Wira Madani ‘Jomsihat Jomriadah’ JPJ Negeri Sabah yang disertai 250 orang di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah di sini.
Harris berkata, sukan adalah salah satu instrumen pembentukan modal insan yang menyeluruh dan ia membina jati diri, integriti dan semangat kesetiaan kepada organisasi dan selari dengan prinsip Madani yang menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan rohani.
“Saya ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada Pejabat Perdana Menteri yang bersetuju memperuntukkan Program Jelajah Wira Madani bagi menyantuni anggota pasukan barisan hadapan yang berperanan besar dalam memberi sumbangan kepada keselamatan dan kemakmuran negara.
“Program pada hari ini bukan sekadar sebuah pertemuan biasa. Ia adalah medan untuk kita menghargai, meraikan dan membakar semangat wira-wira beruniform kita, para pegawai dan anggota JPJ yang sentiasa berdiri teguh melaksanakan peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.
Menurutnya, penganjuran Program Wira MADANI tersebut lebih istimewa bersempena persediaan akhir JPJ Negeri Sabah bagi menyertai Sukan JPJ Malaysia di Selangor.
Hadir sama dalam program berkenaan ialah Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Yahya Sulaiman, Pengarah Wilayah INTAN Kampus Sabah Dr. Muharrir Kamarudin dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sabah Mohd Yusoff Samad.