Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Kira-kira 600,000 isi rumah penduduk di Sabah dan Labuan dijangka akan terjejas akibat catuan bekalan elektrik secara bergilir bermula 1 hingga 7 Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity (SE) Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, catuan bekalan itu adalah berikutan kerja-kerja penyelenggaraan (turnaround) yang dijadual dilaksanakan oleh Petronas di platform gas luar pesisir dan terminal onshore.
Katanya, catuan ini berpunca daripada penghentian sementara penyaluran gas kepada dua loji janakuasa bebas (IPP) utama di Kimanis, iaitu Kimanis Power Sdn Bhd (255MW) dan SPR Energy (100MW).
“Berdasarkan maklumat, kedua-dua loji tersebut menghadapi masalah untuk menukar operasi daripada gas kepada diesel, menyebabkan kekurangan kapasiti tenaga sebanyak 195MW sepanjang tempoh penyelenggaraan.
“Perbincangan telah dijalankan sejak awal tahun melibatkan SE, Suruhanjaya Tenaga, ECOS, dan Petronas. Namun, maklumat yang kami terima malam tadi menyatakan bahawa satu unit utama di Kimanis dan keseluruhan loji SPR tidak dapat beroperasi menggunakan diesel seperti yang dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan taklimat berhubung situasi bekalan elektrik di negeri ini kepada pengamal media di sini pada Rabu.
Yaakob berkata, susulan itu, pihaknya tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan langkah catuan bekalan elektrik secara besar-besaran, melibatkan hampir 200,000 pengguna berdaftar.
Katanya, catuan itu akan dilaksanakan secara bergilir terutama pada waktu kemuncak penggunaan elektrik antara jam 10 pagi hingga 10 malam.
Menurutnya, pihaknya menjangkakan gangguan akan berlaku secara berjadual mengikut kawasan, dengan purata gangguan sekitar satu hingga dua jam setiap hari sepanjang tempoh tersebut.
Sementara itu, beliau turut merayu kepada Petronas agar menangguhkan kerja-kerja pemulihan ke tarikh yang lebih sesuai dengan mengambil kira cuaca panas semasa serta keperluan tenaga yang tinggi.
Katanya, ia juga adalah bagi memberi ruang kepada loji-loji terlibat untuk bersedia sepenuhnya menukar operasi kepada diesel dan mengelak gangguan kepada rakyat.
Menurutnya, satu pertemuan penting antara ECOS, pengendali grid sistem Sabah, dan Petronas dijadualkan berlangsung petang tadi pada Rabu bagi membincangkan semula perkara tersebut.
Katanya, keputusan mesyuarat tersebut bakal menjadi penentu sama ada langkah catuan akan diteruskan atau dapat dielakkan.
“Jika rundingan ini tidak berhasil, maka catuan akan dilaksanakan sebagaimana yang dirancang. Kami mohon rakyat bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang tempoh ini,” katanya.
Sabah Electricity turut menasihatkan orang ramai untuk merancang penggunaan elektrik dengan bijak dan mengikuti saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual gangguan bekalan. – Chronivo