HomeUtamaKementerian Pertahanan teruskan usaha pemodenan ketenteraan

Kementerian Pertahanan teruskan usaha pemodenan ketenteraan

Read Time:2 Minute, 14 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Kementerian Pertahanan menekankan strategi jangka panjang, termasuk usaha pemodenan aset ketenteraan, sebagai langkah memastikan kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan negara kekal pada tahap terbaik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun status semasa kekal stabil, rancangan masa depan tetap menjadi keutamaan.

“Setakat pagi tadi, semuanya berjalan dengan baik tetapi bukan maknanya kita tidak mempunyai perancangan. Kita sedar akan aset-aset yang semakin berusia. Semua perkhidmatan kita sedang melalui proses pemodenan.

“Bagi Tentera Laut, mereka mempunyai perancangan ‘15 ke lima’. Sebelum ini, terdapat 15 jenis kapal dan aset yang berbeza. Daripada 15 jenis itu mereka akan menumpukan kepada lima jenis aset utama dalam proses pemodenan tersebut,” katanya semasa sidang media di Terminal 2 Lapangan Terbang Kota Kinabalu di sini.

Mohamed Khaled bercakap kepada media selepas menyaksikan penembakan Misil Anti Permukaan melibatkan tiga aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam Eksesais TAMING SARI 23/25, hari ini.

Eksesais tersebut melibatkan penembakan Misil Exocet MM40 oleh Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Lekir serta penembakan Misil Exocet SM39 secara terkoordinasi (Coordinated Missile Firing) dari kapal selam KD Tunku Abdul Rahman.

Eksesais ini juga adalah julung kalinya melibatkan penembakan torpedo dalam konfigurasi perang (Black Shark War) oleh KD Tun Razak.

“Kejayaan penembakan ini jelas memperlihatkan TLDM serius menzahirkan keupayaan serta kesungguhan dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah maritim Malaysia,” katanya.

Eksesais TAMING SARI 23/25 disempurnakan bersama-sama dengan Eksesais KERISMAS 28/25 bermula dari 8 hingga 31 Julai 2025.

Kedua-dua Eksesais telah bermula dari Tambatan Pangkalan Lumut dan berakhir di Tambatan Pangkalan Kota Kinabalu, merangkumi kawasan Zon Maritim Malaysia di Laut China Selatan yang memfokuskan kepada kemampuan beroperasi dalam pelbagai domain maritim serta keupayaan interoperabiliti antara unit-unit yang terlibat.

“Eksesais-Eksesais ini merupakan satu keperluan untuk meningkatkan kesiapsiagaan, keupayaan dan kompetensi angkatan tentera kita, agar pada setiap masa mereka bukan sahaja bersedia, tetapi juga benar-benar kompeten dalam soal-soal mempertahankan negara,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua Eksesais ini telah menterjemahkan kesiapsiagaan serta keupayaan semasa TLDM dalam mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan maritim Negara.

“Melalui Eksesais ini juga, TLDM dapat menguji, menilai serta menambah baik procedur, pelan dan doktrin yang berkaitan selain menambah baik dan melatih tahap kompetensi Armada TLDM khususnya dalam menangani ancaman peperangan maritim secara konvensional.”

Eksesais itu memberikan platform strategik dalam mempertingkatkan sinergi antara agensi pertahanan dan keselamatan melalui penglibatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Hadir sama menyaksikan detik bersejarah penembakan misil dan torpedo adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Azhan Md Othman; dan pegawai-pegawai kanan TLDM.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular