HomeUtamaJenayah Tawau turun 54%, polis terus agresif perangi dadah

Jenayah Tawau turun 54%, polis terus agresif perangi dadah

Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin menegaskan bahawa pihaknya akan terus bertindak agresif dalam menangani kesalahan berkaitan pengedaran dadah, demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini.

Menurut beliau, sejak awal tahun ini sahaja, lebih 30 kilogram dadah telah berjaya dirampas di Tawau dan jumlah keseluruhan rampasan mencecah lebih 100 kilogram direkodkan bermula pada 2022.

“Ini merupakan matlamat kami untuk menjaga masyarakat daripada terjebak dalam kegiatan dadah melalui tangkapan-tangkapan berskala besar,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Jasmin turut memaklumkan bahawa indeks jenayah di Tawau menunjukkan penurunan ketara sebanyak 54% setakat tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Setakat ini hanya 203 kes jenayah direkodkan berbanding lebih 400 kes pada tahun lepas. Pada tahun 2024, sebanyak 650 kes dicatatkan iaitu angka terendah sejak 2010, dan tahun ini kita berjaya menurunkannya lagi ke paras lebih rendah,” jelas beliau.

Beliau menyifatkan penurunan itu sebagai hasil daripada usaha bersepadu antara pihak polis, masyarakat, jabatan-jabatan kerajaan lain serta sokongan media, di samping pelaksanaan pendekatan “agresive policing” oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

“Ia selari dengan moto kita ‘Bersama ke arah Tawau yang Sejahtera’,” tambahnya.

Mengulas mengenai persediaan menjelang pilihan raya akan datang, Jasmin memaklumkan bahawa pihak polis telah mengenal pasti keanggotaan serta keperluan-keperluan logistik sebagai persediaan awal.

“Ia masih di peringkat awal untuk dibentangkan, namun kita akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam berada dalam keadaan terbaik sepanjang tempoh pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau turut memberi amaran terhadap penyalahgunaan media sosial yang boleh mengganggu-gugat keamanan menjelang pilihan raya.

“Kita menasihatkan semua pihak agar sentiasa menjaga komunikasi di media sosial atau platform lain. Jika terdapat laporan polis, tindakan boleh diambil di bawah undang-undang sedia ada seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta berkaitan ugutan jenayah,” tegasnya.

Sementara itu pada sidang media sama, Jasmin turut memaklumkan seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun ditahan polis ketika cuba menyeludup syabu seberat 2.06 kilogram bernilai RM74,500 ke negara asalnya melalui Tawau.

Katanya, suspek yang memasuki Sabah melalui laluan haram tanpa dokumen sah pada 21 Julai, ditahan empat hari kemudian hasil operasi risikan dan maklumat awam di kawasan Jalan Pelabuhan.

“Pemeriksaan ke atas beg galas yang dibawanya menemui dua paket dadah disembunyikan dalam bungkusan bertulis “Guanyinwang” dan “Freeze Dried Durian”.

“Siasatan awal mendapati suspek kali pertama masuk ke Malaysia dan disyaki dihantar oleh pihak tertentu dari negara jiran untuk mengambil dadah dan membawanya keluar dengan upah sekitar RM3,000,” katanya.

Suspek kini direman tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular