Kota Kinabalu : Daerah Kota Marudu dilaporkan mengalami Gelombang Haba (Tahap 2) yang boleh mencecah suhu sehingga 40 darjah celcius.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, selain Kota Marudu, enam lagi kawasan dilaporkan mengalami cuaca panas tahap berjaga-jaga yang boleh mencecah sehingga 37 darjah celcius.
Antara kawasan yang berada pada tahap berjaga-jaga Pitas; Beluran; Telupid; Sandakan; Keningau dan Tenom.
Selain Sabah, empat lagi kawasan di Semenanjung turut dilaporkan mengalami cuaca panas tahap berjaga-jaga.
“Bagi kawasan di Sarawak, satu kawasan terlibat berada pada tahap berjaga-jaga,” menurut kenyataan itu di sini.
Kawasan yang mengalami cuaca panas Gelombang Haba dan Tahap Satu itu direkodkan setakat jam 6 pagi pada Selasa.
Tahap gelombang haba itu boleh mencapai suhu maksimum harian yang melebihi 37 darjah Celcius hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Orang ramai boleh melayari https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mengetahui maklumat terkini status cuaca panas harian. – Chronivo