Oleh J. Evachel John
KINABALU: Seorang warga asing dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri empat unit jam tangan bernilai RM141.60.
Mohamad Nor Munib,27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Tertuduh telah mencuri jam tangan tersebut pada 21 Julai lalu, kira-kira jam 3 petang, di Warehouz, One Borneo Mall, di sini.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan semasa mencuri oleh penyelia kedai.
Dia didakwa mengikut seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Dalam kes berasingan di mahkamah sama, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana menyimpan harta curi, iaitu dua unit tablet jenama Lenovo.
Azman Jaafar, 34, dengan niat curang telah menyimpan kedua-dua tablet milik sebuah kedai yang diketahuinya adalah harta curi, pada 22 Julai 2025 di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Pondo, Pulau Gaya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tablet tersebut dilaporkan hilang oleh pemilik asal pada 17 Julai lalu selepas premis kedai dipercayai dipecah masuk, dengan anggaran kerugian sekitar RM2,000.
Timbalan Pendakwa Raya, Akaash Singh, mengendalikan pendakwaan.
Mohamad tidak diwakili peguam, manakala Azman diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Carmen Khoo.