Tuaran: Sebanyak RM10,000 disumbangkan kepada Rumah Anak Yatim Al Aman sebagai salah satu usaha bagi membina hubungan erat dengan institusi kebajikan.
Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa berkata, sumbangan yang disalurkan pihaknya itu juga adalah bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Pada kali ini kita telah memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada badan amal iaitu Rumah Anak Yatim Al Aman diwakili oleh Pengerusinya Saupin Samintah.
“ini merupakan satu cara bagaimana kita membina hubungan kita dengan badan kebajikan seperti rumah-rumah anak yatim untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Golf Dwi Tahunan Jabatan Jabatan Persekutuan Sabah Tahun 2025 di sini, pada Ahad.

Mengulas mengenai kejohanan itu, Rosli berkata, ia merupakan platform bagi mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan penjawat awam persekutuan, di samping mengamalkan gaya hidup sihat.
“Ini merupakan satu platform kita untuk membina satu hubungan yang erat dalam kalangan para penjawat awam Persekutuan di Sabah.
“Ini kerana apabila kita saling kenal mengenali maka hubungan kita akan lebih rapat dan mudah untuk melaksanakan tugas-tugas kita dari semasa ke semasa.
“Sekarang ini memang kita galakkan supaya para penjawat awam bersukan untuk menjaga tahap kecergasan kita ketika bekerja.
“Kita juga perlukan badan yang sihat kerana dengan badan yang sihat maka fikiran kita juga akan menjadi cerdas untuk menjalankan tugas dan melakukan tindakan yang lebih baik untuk jabatan masing-masing,” katanya
Kejohanan yang disertai lebih 30 jabatan dan agensi persekutuan di Sabah itu menyaksikan pasukan PDRM yang diketuai oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun menjuarai kategori berpasukan, manakala kategori individu dimenangi oleh Mohamad Faizal Tahir mewakili Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sabah.-