Oleh Wan Azrain Adnan
KUALA LUMPUR: Isu kadar gaji terus menjadi perbincangan hangat antara pekerja dan majikan di seluruh negara, dengan rata-rata pekerja menyuarakan kebimbangan terhadap pendapatan yang masih rendah serta cabaran kos sara hidup yang meningkat, sehingga menjejaskan kualiti hidup mereka.
Dalam masa sama, majikan pula berdepan tekanan kos operasi yang semakin meningkat, berikutan pelaksanaan beberapa dasar kerajaan seperti kenaikan kadar gaji minimum, pelarasan tarif elektrik, rasionalisasi subsidi diesel, serta sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing. Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) antara yang paling terkesan dengan perkembangan ini.
Menurut Laporan Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Kedua 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Petunjuk Keyakinan perniagaan menurun kepada 2 peratus berbanding 3.2 peratus pada suku pertama tahun ini. Ini merupakan penurunan selama tiga suku berturut-turut sejak Suku Keempat 2024.

Laporan itu turut mendedahkan hanya 16.2 peratus majikan merancang untuk menambah bilangan pekerja, manakala 76.7 peratus mengekalkan jumlah sedia ada dan 7.1 peratus pula merancang pengurangan.
Penganalisis menjangkakan dengan keyakinan perniagaan yang lemah, kemungkinan besar kadar gaji pekerja tidak akan meningkat dalam masa terdekat, malah manfaat seperti bonus dan latihan juga mungkin terjejas.
Dalam usaha meringankan beban pekerja, kerajaan telah menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan mulai Februari 2025, peningkatan hampir 90 peratus sejak dasar itu diperkenalkan pada 2012.
Selain itu, penjawat awam menerima pelarasan gaji antara 7 hingga 15 peratus mulai Disember 2024, iaitu kenaikan terbesar sejak 2007.
Pada Mei lalu, 34 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Khazanah Nasional, PNB, KWSP, LTAT dan Tabung Haji telah melaksanakan dasar ‘Living Wage’ dengan kadar sekitar RM3,100 sebulan, berdasarkan panduan Belanjawanku 2024/2025. Seramai 153,000 pekerja terlibat dalam pelaksanaan dasar ini.
Maybank mengesahkan semua pekerjanya kini menerima pendapatan melebihi paras gaji sara hidup tersebut, manakala Sime Darby Property menaikkan gaji minimum bagi pekerja B40 daripada RM1,500 kepada RM2,700.
Bekas Pengerusi Bursa Malaysia semasa ASEAN Corporate Governance Conference 2025 menyeru syarikat korporat agar menyokong dasar ini secara sukarela sebagai sebahagian daripada prinsip tadbir urus ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus).
Menurut beliau, gaji pekerja hanya menyumbang 33.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 50 peratus di negara maju. Kerajaan mensasarkan peningkatan kepada 40 peratus menjelang akhir 2025 dan 45 peratus menjelang 2033 di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.
Namun, data Bank Negara menunjukkan pertumbuhan gaji pekerja (7%) dalam tempoh 2019–2024 lebih perlahan berbanding pertumbuhan produktiviti (11.2%).
Berdasarkan laporan Sorotan Pasaran Buruh Suku Pertama 2025 oleh DOSM, median upah bulanan pekerja formal ialah RM3,045. Walaupun ia hampir menyamai kadar gaji wajar RM3,047, lebih 40 peratus pekerja masih menerima upah di bawah garis kemiskinan nasional (RM2,589), dan 7.1 peratus menerima gaji di bawah kadar minimum RM1,500.

Kelantan mencatat median upah bulanan terendah sebanyak RM1,664, diikuti Perlis (RM1,764) dan Sabah (RM2,000), jauh lebih rendah berbanding paras nasional.

Susulan itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan pindaan terhadap Akta Kerja 1955 bagi mewajibkan penstrukturan gaji secara berkala, khususnya untuk menjamin kenaikan tahunan kadar upah sektor swasta.
MTUC turut menegaskan bahawa ketiadaan peruntukan tersebut menyebabkan ramai pekerja menerima upah statik untuk tempoh yang panjang, dengan syarikat lebih mengutamakan kenaikan gaji golongan pengurusan tertinggi yang didakwa melebihi 100 kali ganda berbanding pekerja bawahan.
Bagaimanapun, penganalisis berpendapat bahawa majikan tidak wajar dipaksa melaksanakan dasar gaji sara hidup melalui undang-undang. Sebaliknya, majikan harus diberi ruang menentukan struktur gaji mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
“Apa yang tidak wajar ialah apabila majikan menikmati keuntungan hasil titik peluh pekerja tanpa berkongsi dengan pemberian gaji dan bonus yang setimpal,” katanya.