Kota Kinabalu : Taman-Taman Sabah (TTS) kini bukan hanya dikenali sebagai tapak konservasi biodiversiti, namun ia merupakan pentas kepada pembangunan yang mampan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS Datuk Peter Lebar @ Peter Lintar berkata, ia juga merupakan institusi pendidikan semula jadi selain menjadi destinasi pelancongan lestari yang menjadi peluang untuk komuniti menjana pendapatan secara beretika dan berkesan.
“Justeru, saya menyambut baik pelbagai pendekatan baharu yang telah diperkenalkan dalam usaha memperkemas kawal selia dan pematuhan aktiviti marin.
“Inisiatif perancangan dan pelaksanaan kaunter berpusat di dalam Taman ini adalah langkah berani dan bijak, demi memastikan keseimbangan antara keselamatan pelawat, pemeliharaan sumber semula jadi dan keberkesanan pengurusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulangtahun Pewartaan Taman Tunku Abdul Rahman ke-51 Pulau Manukan di sini pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah TTS Abdul Razak Jamil.
Peter berkata, penyediaan prosedur standard operasi (SOP) rekreasi air yang menyeluruh dan praktikal, pengukuhan aspek penguatkuasaan, serta pemantauan berterusan amatlah penting agar taman ini selamat untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Katanya, kempen Kembara Tanpa Tunai di TTS adalah bukti kesungguhan pihaknya dalam menyahut aspirasi digital negara.
Menurutnya, kempen iy bukan sekadar menggalakkan penggunaan MyDebit di pintu masuk taman-taman terpilih, tetapi lebih penting lagi, ia membawa naratif perubahan ke arah pengurusan perkhidmatan yang lebih cekap, selamat, dan berdaya saing.
“Saya percaya bahawa inisiatif ini bukan sahaja memudahkan pelawat dengan pembayaran yang cepat dan selamat, malah turut memperkukuhkan ketelusan pengurusan hasil, menyumbang kepada sistem yang lebih lestari dan mesra alam.
“Dengan adanya insentif yang ditawarkan kepada pelawat dan taman yang mencapai prestasi terbaik, saya yakin kempen ini akan disambut dengan penuh semangat oleh semua pihak,” katanya. – Chronivo / FOTO SABAH PARK