Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) meminta agar pucuk pimpinan parti mempertimbangkan untuk melantik wakil dari wanita muda sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik.
Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Emmie Datuk Martin Idang berkata, ia adalah bagi membawa suara generasi Bahari ke pentas pembuat dasar negeri.
“Kita tidak menuntut jawatan kerana usia, tetapi kerana kompetensi, komitmen dan keberanian. Jika ada kekosongan, kami mohon diberi satu peluang untuk membawa suara wanita muda sebagai ADUN dilantik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Emmie berkata, suara wanita muda, terutamanya dari luar bandar, perlu dibawa ke peringkat tertinggi agar jurang penyertaan dalam kepimpinan negeri dapat dirapatkan.
“Kita menghargai pelaksanaan inisiatif Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) yang telah membantu lebih 200 wanita muda dengan pembiayaan sehingga RM50,000.
“Namun masih banyak ruang untuk diperluas terutama di peringkat daerah dan kampung,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pemberdayaan ekonomi wanita muda bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik negara, terutamanya dalam pemulihan ekonomi pasca pandemik.
Sementara itu, Emmie turut menyokong penuh usaha memperkasakan pendidikan politik wanita muda serta penambahan program latihan keusahawanan dan TVET di seluruh pelosok negeri termasuk di Tawau, Lahad Datu, Sipitang, Tenom dan Pitas.
“Pendidikan bukan semata-mata akademik, tetapi asas tamadun dan kualiti kepimpinan. Kita mahu wanita muda luar bandar diberi akses setara kepada latihan digital, pembiayaan, dan sokongan pasaran,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor, sambil menegaskan bahawa Beliawanis sentiasa menjadi benteng dan penyambung antara pimpinan dan rakyat.
“Kami bukan sekadar berdiri di belakang Presiden, kami juga berada di hadapan sebagai perisai perjuangan – dengan hujah, kesetiaan dan semangat.
“Beliawanis bukan sekadar pewaris perjuangan, tetapi pembina zaman dan pencipta peluang. Kita tidak hanya angkat bendera, kita angkat hujah. Kita tidak hanya laungkan sokongan, kita laungkan harapan yang disokong dengan fakta.
“Kita bersidang hari ini bukan untuk mencatat sejarah, tetapi mencorak masa depan,” katanya. Chronivo