KOTA KINABALU, Pembangunan sistem tenaga lestari yang menyokong agenda perindustrian Sabah mesti diasaskan kepada tiga prinsip utama iaitu belas ihsan, ketelusan dan kepercayaan, kata Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr James Lim.
Menurut beliau, Sabah perlu membangunkan strategi tenaga tersendiri yang lebih sesuai dengan keperluan dan realiti setempat tanpa perlu mengikut atau meniru secara langsung model pembangunan tenaga yang digunakan di Semenanjung Malaysia atau Sarawak.
“Penggunaan tenaga tertinggi di Sabah ketika ini datangnya daripada sektor domestik, bukan industri. Ini berbeza dengan di Semenanjung yang mana permintaan industri disokong melalui subsidi yang besar sejak sekian lama,” katanya dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Dr Lim turut menjelaskan bahawa sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar tidak mampu memenuhi keperluan tenaga pada waktu puncak di Sabah. Justeru, beliau mencadangkan satu penyelesaian cekap tenaga gabungan Sistem Solar Skala Besar (LSS) bersama Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dinamakan Sistem Bekalan Kuasa Cekap (EPSS).
“Tenaga solar dijana pada waktu siang, sedangkan penggunaan tertinggi berlaku pada waktu malam. Kita masih memerlukan sumber tenaga stabil seperti gas sebagai beban asas,” katanya.
Sabah, ujarnya, berpotensi besar untuk mencapai kestabilan tenaga tanpa subsidi dengan perancangan yang tepat melalui penghapusan penggunaan janakuasa diesel bersubsidi, serta pelaksanaan EPSS hijau, loji hidro dan loji gas jangka panjang.
Model Tenaga Yang Disesuaikan Untuk Sabah
Mengulas lanjut, Dr Lim berkata corak permintaan tenaga di Sabah sangat unik dan memerlukan perancangan tersendiri yang mengambil kira trend penggunaan semasa dan hala tuju pembangunan industri negeri.
Kita tidak boleh meniru model Semenanjung kerana corak penggunaan tenaga Sabah berbeza, permintaan luar waktu puncak rendah kerana tidak banyak zon industri yang beroperasi 24 jam, katanya.
Justeru, beliau menekankan keperluan menyusun semula ekosistem utiliti Sabah dengan jelas, melibatkan tiga komponen utama iaitu kerajaan sebagai pembuat dasar, ECOS sebagai badan pengawal selia, dan SESB sebagai penyedia perkhidmatan utiliti tempatan.
“Sebelum ini, dasar dan undang-undang tenaga kita masih tertakluk kepada Semenanjung. Hanya pada tahun 2024 Sabah mengambil alih sepenuhnya pengurusan tenaganya sendiri,” katanya.
Kos, Subsidi dan Tanggungjawab Kewangan
Dr Lim menegaskan model tenaga semasa tidak lagi boleh bergantung kepada subsidi kerana ia tidak mampan dari segi fiskal.
“Jika kita beli tenaga pada kadar RM1.50 tetapi jual pada RM0.80, kita menanggung kerugian. Sabah perlu menjana tenaga pada kos di bawah 30 sen dan menjual pada kadar sekitar 34 sen, supaya model tenaga ini dapat berdikari secara kewangan tanpa kebergantungan kepada subsidi. ,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan memastikan setiap dasar tenaga mengambil kira golongan berpendapatan rendah, bukan sekadar pemain industri semata-mata.
Pembangunan Modal Insan Sabah
Dalam usaha menjadikan Sabah sebagai negeri perindustrian, Dr Lim menegaskan bahawa pembangunan modal insan tempatan adalah sangat penting.
“Kita perlukan program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) yang direka khas mengikut keperluan sebenar industri Sabah, bukan berasaskan modul Semenanjung,” katanya.
Malah beliau turut mencadangkan agar dana daripada sumbangan syarikat Sabah kepada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang dianggarkan
sekitar RM400 juta dikembalikan dan dilaburkan semula untuk latihan kemahiran rakyat negeri ini.
“Dana ini kini tidak digunakan dan tersimpan di Semenanjung. Ia wajar disalurkan semula bagi melatih tenaga kerja tempatan,” katanya.
Pelaburan Berkualiti dan Pertumbuhan Seimbang
Dr Lim juga menggesa agar Sabah menarik pelaburan berkualiti tinggi yang bukan sahaja membawa modal, tetapi juga pemindahan teknologi, peningkatan produktiviti dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
Katanya, kemudahan asas seperti keselamatan tenaga, bekalan air, jalan raya yang baik dan sambungan internet yang stabil perlu disediakan terlebih dahulu. Lebuh Raya Pan Borneo, katanya, akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi seperti Lebuh Raya Utara-Selatan di Semenanjung.
“Kita juga perlu menambah baik kemudahan pelabuhan dan lapangan terbang,” tambahnya.
Beliau turut memberi amaran agar Sabah tidak terlalu bergantung kepada satu sektor sahaja seperti industri, kerana ini boleh memberi kesan buruk kepada sektor pelancongan dan alam sekitar.
“Kita perlu mengoptimumkan sumber semula jadi dengan pembangunan seimbang antara industri, pelancongan dan pemeliharaan alam sekitar. Penekanan berlebihan terhadap satu sektor boleh menjejaskan nilai sebenar Sabah,” katanya.