HomeUtamaPlastik sekali guna jejas biodiversiti dan ekonomi

Plastik sekali guna jejas biodiversiti dan ekonomi

Read Time:1 Minute, 52 Second

Kinabatangan : Pencemaran plastik yang kini berada di luar kawalan adalah hasil daripada peningkatan pesat penggunaan plastik yang tidak mampan dan kurangnya pengurusan sisa yang berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif SKG Green Sdn Bhd Philipa Datuk Wilfred Mojilis berkata, kesan daripada yang membimbangkan, ia bukan sahaja mencemari sungai, laut, tanah dan udara, malah telah mencetuskan krisis kesihatan awam.

Selain itu katanya, ia turut mengancam biodiversiti, serta memberi impak yang besar terhadap kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat global.

Menurutnya, plastik yang tidak diurus dengan baik akan kekal dalam persekitaran selama berabad-abad.

“Menurut kajian, lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia. Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada jumlah ini adalah plastik sekali guna, yang digunakan hanya seketika sebelum dibuang begitu sahaja.

“Plastik jenis ini bukan memberi kesan jangka pendek terhadap alam sekitar tetapi memakan masa ratusan tahun untuk terurai sepenuhnya. Lebih menyedihkan, jutaan haiwan laut, sungai dan darat terkorban setiap tahun akibat tertelan atau terperangkap dalam sisa plastik.

“Ini bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi satu krisis kemanusiaan yang perlu kita tangani bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2025 di sini baru-baru ini.

Philipa berkata, seruan global melalui kempen #BeatPlasticPollution menyeru agar satu pendekatan yang lebih teguh, tangkas, dan berpandangan jauh dilaksanakan.

Katanya, ia menekankan keperluan untuk kerjasama erat antara kerajaan, sektor industri, dan seluruh lapisan masyarakat bagi melaksanakan perubahan menyeluruh dan berasaskan kesedaran.

“Pendekatan ini perlu merangkumi keseluruhan rantaian nilai plastik bermula dari reka bentuk produk, pengeluaran, penggunaan, sehinggalah kepada pelupusan.

“Fokus utama adalah untuk menghapuskan produk plastik yang tidak perlu demi memastikan kelestarian alam sekitar dan masa depan yang lebih bersih,” katanya.

Sementara itu, Philipa berkata, Masyarakat juga digalakkan untuk memilih produk atau perkhidmatan yang diperakui sebagai lestari, khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan, dan perikanan.

“Pilihan kita penting bagi memastikan sumber semula jadi dapat dipelihara secara holistik untuk kelangsungan generasi akan datang. Namun, pemuliharaan alam tidak akan berjaya tanpa perubahan dalam gaya hidup kita.

“Amalan kitar semula perlu dijadikan kebiasaan, kerana ia bukan sahaja mengurangkan pencemaran, malah mengurangkan tekanan terhadap sumber asli, menjimatkan tenaga, dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Setiap inisiatif yang dilaburkan dalam pemulihan boleh meningkatkan mata pencarian, mengurangkan kemiskinan dan membina daya tahan terhadap cuaca ekstrem dan tidak menentu,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular