HomeUtamaJangan biarkan politik kotor gugat keharmonian Sabah – Fairuz

Jangan biarkan politik kotor gugat keharmonian Sabah – Fairuz

Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu : Keharmonian adalah asas utama yang perlu dipertahankan bagi memastikan pembangunan negeri Sabah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan berkata, sebarang bentuk perpecahan akibat kerakusan politik dan agenda peribadi hanya akan menggugat kestabilan negeri serta masa depan rakyat khususnya generasi muda.

“Jangan biarkan negeri yang kita cintai ini dihanyutkan oleh perpecahan yang dicetuskan oleh politik kotor.

“Keharmonian adalah tunjang kepada kestabilan dan kemajuan. Tanpa keharmonian, segala perancangan pembangunan tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Pergerakan Pemuda pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Fairuz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, perjuangan unggul yang perlu menjadi tunggak utama bagi setiap ahli parti adalah menjadi benteng dan harapan kepada perjuangan parti.

“Hari ini, saya berdiri di hadapan kalian, bukan sebagai individu, tetapi sebagai suara gelombang anak muda yang mana saya sentiasa berpegang kepada matlamat utama untuk membawa generasi muda, bangkit dengan berani dan tidak akan sama sekali bertoleransi dengan ketidakadilan.

“Anak muda bukan sekadar harapan masa depan yang menjadi pelapis kepada pencorak hala tuju negeri yang kita cinta ini, tetapi anak muda juga adalah nadi penggerak perubahan, kerana kita bukan lagi penonton, sebaliknya kita adalah pemain utama di tengah gelanggang,” katanya.

Tambah Fairuz, generasi muda berperanan dalam meneruskan pembangunan dan membentuk kejayaan yang kelak akan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Kita akan bangunkan dan wariskan tanah berdaulat ini dengan penuh maruah kepada generasi akan datang.

“Kita berjuang bukan kerana nama, kita berjuang kerana negeri ini, kerana kita cinta akan Sabah yang sudah pasti menjadi darah dan daging serta nadi hidup kita, kerana kita anak Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Fairuz turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda kerana memperjuangkan keutamaan Pemuda dan menggesa agar peluang turut diberikan sama rata kepada Pemuda.

“Kakanda saya, kakak Redonah yang saya kasihi dan saya hormati, sesungguhnya saya amat berterima kasih dengan segala kepercayaan, keyakinan dan sokongan anda kepada saya sepanjang saya menerajui kepimpinan Pemuda dan DUN Pintasan.

“Keyakinan kakak Redonah kepada usaha dan kerja keras Pemuda tidak mungkin saya dan Pemuda-Pemuda lupakan sampai bila-bila, kami akan terus bekerja keras untuk Gagasan Rakyat,” katanya. 

Selain itu, Fairuz juga berkata, perjuangan Pemuda bukan lagi mengejar kepada pangkat, kuasa dan peluang, sebaliknya kemenangan parti dan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Beliau telah membuktikan bahawa pembangunan dan integriti boleh berjalan seiring. Kerana beliau meletakkan rakyat di hati pemerintahannya. Kerana beliau percaya anak muda bukan beban, tetapi penyumbang kepada kejayaan.

“Ini bukan masanya untuk kita berdiam diri dan ini bukan waktunya untuk bersikap selesa, kita mahu tabur bakti untuk parti, kita tidak kejar untuk jadi calon, kita yakin kepimpinan atasan parti tahu untuk memilih calon serta kita yakin Pemuda akan diberi peluang untuk menyumbang.

“Ayuh sama-sama, genggam erat tangan satu sama lain, untuk kita saling menguatkan satu sama lain, untuk menangkan perjuangan kita, kita mesti menang untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 tidak lama lagi,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular