Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan dasar hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berupaya mengangkat negeri ini maju setapak ke hadapan berbanding lima tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keadaan ekonomi ketika Kerajaan diambil alih pada September 2020 menunjukkan keadaan ekononi berada pada tahap yang amat mendukacitakan.
Katanya, hala tuju SMJ telah dapat melonjakkan ekonomi negeri, khususnya dalam sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan.
“Kerajaan negeri turut meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras penting melalui hala tuju ini dengan peruntukan besar dalam bidang pendidikan selain pelaksanaan program dan inisiatif untuk mensejahterakan rakyat seperti pemberian bantuan tunai secara bulanan dan membina rumah untuk rakyat yang miskin dan miskin tegar.
“Atas keprihatinan Kerajaan Negeri, sebanyak 100 buah mesin dialisis telah disumbangkan kepada hospital-hospital di seluruh Sabah bagi membantu para pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan berjadual secara percuma, disamping tawaran skim insurans Rakyat Sabah yang mula diperkenalkan pada tahun ini.
“Selain itu, Kerajaan negeri turut komited melaksanakan inisiatif pewartaan kampung-kampung dan tanah adat anak negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Hajiji berkata, lebih 20 projek infrastruktur air sedang dilaksanakan di seluruh negeri yang sebahagiannya telah pun siap, sekali gus memberi jaminan bekalan air yang lebih stabil.
Katanya, Kerajaan negeri juga sedang rancak melaksanakan projek tenaga elektrik selain komited untuk memastikan lebuh raya Pan Borneo dapat disiapkan secepat mungkin.
Menurutnya, kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036, Pelan Tindakan Bakau Sabah, selain menubuhkan Majlis Tindakan Iklim Sabah dan Majlis Ekonomi Biru Sabah.
“Insyaa Allah, dengan mandat baharu daripada rakyat dalam pilihan raya negeri yang akan datang, kita akan teruskan semua bantuan dan inisiatif ini, malah lebih banyak lagi yang akan kita laksanakan demi memastikan kebajikan rakyat Sabah terus terbela dan terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan negeri turut berjaya memeterai Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) dengan pihak PETRONAS.
Katanya, melalui CCA, Sabah kini berdiri teguh sebagai rakan sejajar dalam sektor tenaga dan membuka pintu kepada penglibatan langsung dalam aktiviti huluan dan hiliran, memperkasa syarikat milik negeri, SMJ Energy Sdn Bhd, sebagai peneraju tempatan dalam rantaian nilai minyak dan gas.
“Hasil daripada kerjasama yang hebat ini bakal menyumbang kepada pertambahan pendapatan negeri, pembangunan industri hiliran, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, serta limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan.
“Dalam pada itu, kita turut berjaya merekodkan peningkatan pemberian khas sebanyak RM600 juta pada tahun ini. Saya ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas komitmen berterusan beliau terhadap pembangunan negeri Sabah,” katanya. – Chronivo