HomePolitikBlok Borneo tak perlu diajar oleh orang luar - Hajiji

Blok Borneo tak perlu diajar oleh orang luar – Hajiji

Read Time:1 Minute, 59 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa pihak luar tidak berhak memperkecil atau menentukan hala tuju Sabah dan Sarawak, yang kini dikenali sebagai blok Borneo.

“Itu berlaku sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan. Apabila saya terdengar satu perkataan yang tidak sedap didengar menyentuh tentang blok Borneo saya terus membuat keputusan untuk menyokong Kerajaan Perpaduan. Bagi saya, kenyataan itu jelas menunjukkan mereka tidak suka dengan kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menangguhkan Persidangan Agung Tahunan 2025 Gagasan Rakyat di Pusat konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Sementara itu semasa ucapan penggulungan, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah turut menyatakan terdapat kenyataan seorang pemimpin pusat yang merendah-rendahkan blok Borneo dan menganggap dirinya sebagai ‘master’ menjadi antara punca beliau membuat keputusan membawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Saya sangat terkejut apabila beliau menyatakan mereka ialah master dan tidak suka kita bekerjasama dengan Sarawak. Lama saya berfikir dan akhirnya saya hilang hati terhadap mereka,” katanya namun Hajiji tidak menamakan pemimpin yang dimaksudkan.

Hajiji menegaskan keputusan menyokong Kerajaan Perpaduan terbukti tepat apabila banyak tuntutan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau kerajaan ini baik untuk Sabah, kenapa tidak kita sokong?” ujarnya sambil mengajak ahli Gagasan Rakyat dan seluruh gabungan GRS supaya terus bersatu dan memperjuangkan kepentingan negeri.

Dalam ucapannya, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada ketiga-tiga sayap parti Wanita, Pemuda dan Beliawanis yang disifatkannya sebagai tulang belakang perjuangan parti.

“Saya dengar suara semua,  suara Wanita, Pemuda dan Beliawanis. Sebagai Presiden, saya ambil maklum dan akan laksanakan cadangan-cadangan yang wajar demi kebaikan rakyat dan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengumumkan bahawa pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 akan bermula tahun depan, termasuk penambahbaikan Program Sentuhan Kasih Rakyat yang memberi bantuan RM300 sebulan kepada rakyat, serta perluasan Program Rumah Mesra SMJ.

Selain itu, katanya bantuan untuk Wanita, Pemuda dan Beliawanis juga akan ditambah bagi menyokong mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Beliau berkata, kerajaan negeri giat memperhebat program mesra pelabur dan memajukan sektor industri, pertanian serta pelancongan bagi mencipta lebih banyak pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Kita tidak mahu lagi anak Sabah yang ada ijazah, diploma atau sijil terpaksa bekerja di luar negeri kerana tiada peluang di sini.

“Ini perjuangan kita. Jika diberi mandat dalam pilihan raya akan datang, kita akan tadbir Sabah dengan sebaik-baiknya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular