HomeIsu tempatanUMS dipilih laksana program Kampung Madani

UMS dipilih laksana program Kampung Madani

Read Time:1 Minute, 58 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melaksanakan program Kampung Angkat MADANI di Kg. Rampayan Laut, Sepanggar sebagai inisiatif untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti khususnya penduduk kampung tersebut. 

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, menerusi program tersebut, sebanyak lima projek pembangunan fizikal utama bakal dilaksanakan di bawah penyelarasan Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) demi manfaat seluruh warga kampung. 

“Antara projek yang akan dilaksanakan adalah pembinaan Pintu Gerbang di kampung ini yang akan menjadi simbol kebanggaan dan identiti baharu serta menjadi mercu tanda yang melambangkan aspirasi dan semangat bahari komuniti. 

“Selain itu, turut akan dibina sebuah Dewan Terbuka, iaitu ruang serbaguna yang bakal menjadi nadi aktiviti komuniti untuk berkumpul, bermesyuarat, merancang dan menyambut pelbagai majlis penting dalam suasana yang lebih selesa dan tersusun,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Program Kampung Angkat MADANI di kampung tersebut. 

Mengulas lanjut, Kasim memaklumkan pembinaan Pusat Komuniti turut dilaksanakan yang akan berfungsi sebagai satu ruang inklusif untuk memperkasa ilmu, kemahiran dan potensi anak-anak Kg. Rampayan Laut.

“Pemasangan Lampu Solar juga akan dilaksanakan yang mana usaha ini bukan sahaja menyelesaikan keperluan pencahayaan waktu malam, malah menjadikan kampung ini lebih selamat dan mesra alam menerusi teknologi tenaga lestari. 

“Projek kelima adalah pembinaan Jeti Nelayan, iaitu kemudahan asas yang amat penting bagi menyokong aktiviti nelayan setempat, khususnya dalam memudahkan pergerakan keluar masuk bot, pendaratan hasil laut, dan urusan harian komuniti nelayan,” katanya. 

Kasim menambah, pelaksanaan keseluruhan projek tersebut telah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan KPT melibatkan peruntukan sehingga RM1 juta. 

“Ini merupakan pelaburan yang cukup besar, dan universiti amat bertekad untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan akan memberi pulangan yang setimpal kepada masyarakat dalam bentuk infrastruktur yang berkualiti, program yang bermanfaat, dan pembangunan kapasiti yang berterusan.

“Program sebegini mampu memastikan bahawa tiada kampung yang ketinggalan dalam arus pembangunan nasional, khususnya Kg. Rampayan Laut kerana lokasinya yang strategik iaitu berdekatan dengan bandar serta mempunyai pelbagai potensi ekonomi untuk dibangunkan.

“Justeru itu, saya menyeru agar seluruh penduduk kampung sentiasa memberikan sokongan, menjaga segala kemudahan serta memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, khususnya dalam program-program pemindahan ilmu yang akan dilaksanakan nanti,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Kasim turut menyempurnakan simbolik pecah tanah pembinaan Dewan Terbuka di salah satu tanah lapang milik kerajaan di kampung tersebut. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Mahasiswa UiTM himpun 180kg E-Waste, tingkat kesedaran alam sekitar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular