HomeUtamaSMJE catat nilai aset RM5 bilion dalam 3 tahun, hasil strategi berhemah

SMJE catat nilai aset RM5 bilion dalam 3 tahun, hasil strategi berhemah

Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu : Syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah, SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE), kini mencatatkan nilai aset mencecah RM5 bilion hanya dalam tempoh tiga tahun sejak penubuhannya, hasil strategi berhemah dan kerjasama pintar dengan PETRONAS.

Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Sabah kini memegang 50 peratus kepentingan dalam Telaga Minyak Semarang di perairan barat negeri itu sejak 31 Mei 2023.

Katanya, ia juga telah melaksanakan 10 kali penjualan minyak dengan nilai keseluruhan RM1.9 bilion.

“Kita bukan hanya bercakap tentang minyak dan gas. Kita terlibat secara langsung dan mengurus hasil kekayaan negeri kita sendiri.

“SMJE adalah bukti kita tidak lagi sekadar menunggu royalti, kita kini memiliki kepentingan terus dalam pengeluaran dan penjualan minyak,” katanya.

Beliau berita demikian ketika berucap merasmikan persidangan serentak perwakilan pemuda, wanita dan beliawanis Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, SMJE telah menjana keuntungan bersih RM320 juta pada tahun 2024 dan beroperasi dengan kakitangan seramai hanya 30 orang.

Lebih membanggakan katanya, semua kakitangan merupakan anak jati Sabah yang berpengalaman luas dalam industri minyak dan gas.

“Bayangkan, 30 anak Sabah berjaya urus syarikat bernilai RM5 bilion. Kita ambil pakar yang pernah berkhidmat di Shell, Petronas dan hari ini, mereka menggerakkan syarikat minyak milik rakyat Sabah dengan sangat berkesan.

SMJE ditubuhkan pada 2021 dengan suntikan modal awal hanya RM50 juta dan merupakan hasil langsung daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Sabah dan Petronas.

Masidi berkata, ia merupakan satu titik perubahan besar dalam pengurusan hasil minyak dan gas negeri.

“Selama lebih 60 tahun kita hanya meminta royalti, tetapi kini kita sudah jadi pemain utama. Ini bukan pencapaian peribadi, ini kejayaan bersama rakyat Sabah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan SMJE merupakan manifestasi perjuangan ‘Sabah First’, dan menyeru rakyat untuk mempertahankan pencapaian ini demi masa depan generasi akan datang.

“Masa depan Sabah terlalu mahal untuk kita serah kepada orang lain. Kita harus jadi tuan di negeri sendiri,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular