Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Lagu ‘Sabah Tanah Airku’ bukan sekadar lagu rasmi negeri tetapi ia merupakan cerminan perjuangan, suara isi hati, dan hala tuju politik rakyat Sabah.
Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Masidi Manjun berkata, lagu negeri itu turut merangkumi semua nilai dan prinsip yang menjadi asas kepada perjuangan politik negeri Sabah.
“Cuba kita baca betul-betul. Hayati liriknya, Sabah Tanah Airku, negeri kita yang tercinta. Pemuda, pemudi semua, marilah bangunlah. Bersatu semua. Marilah bersama serta maju jaya.
“Setiap baris dalam lagu itu membawa amanah yang besar kepada rakyat Sabah,”‘katanya.
Beliau berita demikian ketika berucap merasmikan persidangan serentak perwakilan pemuda, wanita dan beliawanis Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Masidi yang juga Menteri Kewangan turut menekankan bahawa prinsip ‘Sabah First’ yang menjadi teras perjuangan beberapa parti tempatan, termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gagasan Rakyat bukanlah satu retorik politik semata-mata, sebaliknya lahir daripada lagu negeri Sabah.
“Sebab itu kita perjuangkan Sabah diutamakan. Itu amanah dalam lagu kita sendiri. Lagu ini bukan saja untuk dinyanyikan, tetapi untuk dijadikan pedoman,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa cinta kepada Sabah dan rakyatnya harus menjadi titik mula kepada semua dasar dan tindakan politik dan ianya jelas dinyatakan dalam lagu yang diangkat sebagai lagu rasmi negeri sejak Mei 1963.
Sementara itu, mengulas mengenai dasar pembangunan negeri, Masidi mempertahankan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan menyifatkannya sebagai kesinambungan daripada semangat ‘maju jaya’ yang disebut dalam lagu ‘Sabah Tanah Airku’.
“Bila ada orang perlekeh Sabah Maju Jaya, itu bukan hina saya. Itu hina lagu negeri kita sendiri. Slogan ini lahir daripada sejarah dan semangat yang diwarisi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan ekonomi, penciptaan pekerjaan, dan pelaburan adalah sebahagian daripada misi untuk memastikan negeri ini terus mara ke hadapan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pihak luar. – Chronivo