HomeUtamaPRN17 Sabah: Gagasan Rakyat sandarkan harapan kepada anak muda Sabah

PRN17 Sabah: Gagasan Rakyat sandarkan harapan kepada anak muda Sabah

Read Time:2 Minute, 42 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan menyifatkan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang sebagai medan paling kritikal untuk anak muda Sabah membuktikan peranan mereka sebagai penentu masa depan negeri bukan semata-mata sebagai calon, tetapi sebagai pengundi yang menentukan hala tuju kepimpinan.

Beliau berkata, kira-kira 60 peratus pengundi pada PRN17 kali ini terdiri daripada golongan muda, satu angka besar yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana parti politik.

“Bukan soal nak jadi calon, tapi semua anak muda kena masuk gelanggang, maksud saya turun mengundi. Kitalah penentu masa depan negeri ini,” katanya kepada Chronivo semasa Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Menurutnya, kesiapsiagaan Pemuda Gagasan Rakyat bagi menghadapi PRN17 kini telah mencapai tahap hampir 90 peratus dengan jentera akar umbi dan program-program mendekati belia telah digerakkan sejak awal tahun ini di seluruh pelosok negeri.

Beliau turut menyeru agar semua jentera Pemuda terus mengekalkan momentum dan semangat tinggi serta menjiwai mood pilihan raya bagi memperhebatkan lagi gerak kerja di kawasan masing-masing.

Mengulas mengenai prestasi kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Fairuz berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan sahaja berjaya memacu pembangunan ekonomi dan fizikal, malah turut memberi penekanan besar kepada aspek pendidikan dan kebajikan rakyat.

Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk bantuan menyeluruh kepada pelajar daripada peringkat bayi baru lahir hingga ke sekolah menengah, penambahan nilai biasiswa, sokongan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pelbagai bentuk bantuan menerusi agensi dan jabatan pendidikan.

“Presiden (Ketua Menteri) pernah menegaskan bahawa pendidikan adalah keutamaan beliau, dan itu memang terbukti melalui dasar serta bantuan yang kita lihat hari ini,” katanya.

Tambahnya, termasuk Kementerian Belia dan Sukan juga sentiasa mengiktiraf pencapaian anak muda Sabah dalam bidang sukan, termasuk menambah ganjaran pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) daripada RM5,000 kepada RM10,000 tahun lalu.

“Kerajaan hari ini bukan hanya membantu atlet untuk keluar dari negeri ini bertanding, tapi juga sediakan insentif dan sokongan yang jauh lebih besar daripada sebelum ini,” ujarnya.

Fairuz yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah turut menyatakan keyakinan bahawa GRS wajar diberi mandat sekali lagi untuk mentadbir Sabah bagi memastikan kelangsungan perancangan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang baharu bermula selepas pandemik.

“Tempoh sebenar pelaksanaan dasar-dasar ini hanya bermula selepas dua tahun pertama kerana kita semua fokus kepada keselamatan dan kebajikan rakyat sewaktu COVID-19. Selepas itu barulah kita dapat laksana apa yang dirancang,” katanya.

Menurut beliau, terlalu banyak pencapaian dicapai dalam masa singkat ini, dan Sabah masih memerlukan kesinambungan pentadbiran agar perancangan yang telah disusun tidak terhenti separuh jalan.

“Saya yakin rakyat boleh menilai sendiri dan melihat dengan jelas usaha yang telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri. Bagi saya, tidak salah kalau rakyat beri peluang sekali lagi kepada GRS,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keyakinan menghadapi PRN, Fairuz berkata mana-mana parti pun pasti yakin akan menang, namun beliau melihat GRS mempunyai kekuatan tersendiri kerana kerajaan hari ini tidak hanya memfokuskan satu golongan, sebaliknya menyantuni semua lapisan masyarakat.

“Inilah kerajaan yang kita mahukan kerajaan yang fikir dari atas sampai ke bawah. Saya yakin dengan sentimen semasa dan pencapaian yang ada, GRS mampu kekalkan kedudukannya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular