HomeUtamaPeranan ibu bapa, komuniti penting tangani isu buli di sekolah

Peranan ibu bapa, komuniti penting tangani isu buli di sekolah

Read Time:1 Minute, 55 Second

Kota Kinabalu : Peranan komuniti dan masyarakat khususnya ibu bapa menjadi salah satu elemen penting dalam usaha membendung dan mencegah kejadian buli terutama di sekolah daripada terus berulang.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, gejala buli dilihat semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar sekolah yang menimbulkan kebimbangan serius semua pihak.

Katanya, usaha membanteras buli tidak seharusnya diletakkan semata-mata di atas bahu pihak sekolah, sebaliknya perlu digalas bersama oleh semua pihak.

“Kita lihat sekarang kes buli ini semakin banyak bukan hanya melibatkan buli kecil, tapi ada kes melibatkan nyawa. Maka peranan ibu bapa amat penting dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak sejak dari rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program gotong-royong sempena kem lestari generasi madani sekolah rendah peringkat daerah Kota Kinabalu di sini pada Sabtu.

Arif berkata, kerjasama antara ibu bapa, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan seluruh masyarakat amat diperlukan agar gejala buli dapat ditangani dengan lebih baik.

Mengulas mengenai insiden yang berlaku di sebuah sekolah di Papar baru-baru ini, beliau menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat kes berkenaan secara telus dan terperinci.

“Kes ini amat serius dan tidak boleh dianggap ringan. Ia melibatkan nyawa. Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan penuh sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.

Tambah beliau, Menteri Pendidikan telah pun menegaskan bahawa jika terbukti wujudnya unsur buli dalam mana-mana kes, tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku terlibat.

“Kita menyambut baik ketegasan Menteri Pendidikan. Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan sekolah kekal menjadi tempat yang selamat untuk semua pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhila Sidek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sentiasa memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang berjalan berhubung insiden yang berlaku di sekolah berkenaan.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkait kes ini. 

“Beri ruang kepada pihak Polis untuk menjalankan tugas secara profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti. 

“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan. Tiada siapa yang akan dilindungi dan terlepas dari tindakan undang-undang.

“JPN Sabah komited untuk terus memastikan kesejahteraan keluarga, murid, guru dan warga sekolah terlibat terpelihara. Ini dilakukan menerusi penyediaan bantuan segera termasuk aspek sokongan psikososial dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular